Baiklah! Lupakan stress seperti yang saya ceritakan di entri sebelum ini, "Stress tengok The Avengers : Infinity War" . Sedikit luahan jiwa tak berapa nak tenteram. Wahaha. Di entri kali ini, saya nak berkongsi pandangan saya berkenaan movie ni secara jujur 100%. Review penuh movie Infinity War yang mungkin tidak disukai oleh mereka yang belum menonton. Sebab saya bakal cerita semua. Dah tak boleh tunggu lama lama sebab saya dah jadi peminat Marvel terutamanya Movie Marvel. Komik mungkin on the way. Mungkin laa. Wahahhaa... Jadi, kalau korang belum menonton Infinity War, saya nasihatkan jangan teruskan membaca. Kalau nak baca juga, risiko tak enjoy masa tengok movie tu di pawagam adalah tanggungan sendiri. (Amaran : Spoiler Alert!)
Sumber Gambar : Google |
Pssstt! Kutipan bagi filem Infinity War telah mencecah sebanyak $630 Million diseluruh dunia tau. Pergghh...
Penyampaian Plot Cerita, Lawak, Jalan Cerita, Aksi dan Kualiti Gambar
Filem ini merupakan filem gabungan dari beberapa francais Marvel iaitu Black Panther, Captain America, Iron Man, Hulk, Spiderman, Doctor Strange, Thor, Ant-Man dan The Guardian Of The Galaxy. Oleh itu ramai superhero yang mengambil bahagian di dalam filem ini. Bagi mereka yang faham mengenai dunia Marvel, Infinity War sudah pun masuk ke fasa ke tiga. Walau bagaimanapun, Ant-Man hanya muncul dalam bentuk sebutan sahaja. Masa tengok Infinity War tu jangan cari mana Ant-Man pula... Wehehe.
Plot/Jalan Cerita
Dalam filem ini, plot cerita kebanyakannya adalah kisah Thanos memandangkan Thanos adalah watak misteri yang akhirnya muncul. So, memang kena laa jelaskan siapa si Thanos makhluk bewarna ungu ni. Plot cerita tersusun dengan kemas dan tidak bertabur dan penonton yang tidak pernah terlepas movie Marvel sebelum ini pasti akan memahami kronologi cerita. Tetapi terdapat satu babak yang mengelirukan iaitu di sebuah planet di mana Mjolnir (tukul milik Thor) ditempa. Nama planet tersebut adalah Nidavellir.
Thor ke Nidavellir tersebut untuk membuat satu kapak untuk menewaskan Thanos. Semasa Thor, Rocket dan Groot ke planet tersebut, keadaan planet tersebut agak suram dan gelap. Planet tersebut merupakan tempat membuat senjata yang diperbuat daripada logam istimewa iaitu dari hati bintang yang sudah mati yang dijelaskan oleh Thor sendiri dalam filem Thor pada tahun 2011.
Nidavellir dihuni oleh makhluk kerdil yang disebut Dwarves (Yang kelihatan tidak begitu kerdil kalau berdiri di sebelah Thor. Nampak besar jee - Wahaha). Punca Nidavellir suram, gelap dan tidak beroperasi adalah kerana penghuni planet tersebut sudah pun dibunuh oleh Thanos kecuali seorang kerdil di mana dia adalah seorang pakar menempa logam di tempat tersebut.
Thanos datang ke planet itu untuk membuat sarung tangannya dan sebagai pertukaran, nyawa penghuni planet tersebut selamat. Namun, Thanos tetap membunuh semua penghuni pplanet tersebut kecuali si kerdil yang membuat sarung tangan untuk Thanos itu. Walaupun begitu, kedua dua belah tangannya dipotong agar tidak boleh mencipta alat logam lagi.
Semasa Thor datang, si kerdil berkata, "Argardian sepatutnya melindungi kami.." lalu Thor menjawab, "Asgard telah musnah oleh Ragnarok semasa Hela merampas Asgard".
Babak inilah yang agak mengelirukan. Thanos muncul bersama sarung tangannya yang original adalah di filem The Avenger : Age Of Ultron pada tahun 2015 dan Thor ada bersama Avengers menentang Ultron pada waktu itu. Kemudian, setelah selesai masalah berkenaan Ultron di bumi, Thor pergi mencari Infinity Stone. Namun dia gagal tetapi berjaya mendapatkan mahkota Ragnarok dan kembali ke Asgard sebelum kemunculan Hela.
Secara logiknya, sarung tangan Thanos sudah wujud sebelum kemusnahan Asgard. Oleh itu, disini bermaksud dialog ini mempunyai kesilapan sedikit. Planet si kerdil tidak dilindungi oleh Asgardian adalah bukan kerana Asgard sudah musnah tetapi kerana Loki mengambil alih Asgard semasa pengakhiran cerita di filem Thor : The Dark World pada tahun 2013.
Loki menghantar Odin ke bumi (Rumah orang tua) dan Loki memerintah Asgard dengan menyamar sebagai Odin. Ketika ini, Heimdall yang mempunyai kuasa melihat sepatutnya menjaga Bifrost Bridge telah ditukar kepada seorang lelaki yang tidak peka dengan 9 alam sejajar (9 alam yang dilindungi oleh Asgard termasuklah bumi).
Maka, semasa Thanos menyerang Nidavellir, tiada seorang pun Asgardian yang menyedarinya. Bukanlah kerana Asgard sudah musnah.
Terdapat persoalan yang lain juga berkenaan sarung tangan Thanos ini. Kemunculan sarung tangan Thanos yang pertama sebenarnya ada di dalam filem Thor tahun 2011. Kelibat sarung tangan ini ada di dalam peti besi Asgardian.
Tiba tiba ketika di filem Thor : Ragnarok tahun 2017, Hela menolak sarung tangan Thanos tersebut sambil berkata, "Faakkee". Mengapakah sarung tangan palsu tersebut wujud di Asgardian? Adakah ia sekadar hiasan dan diminati oleh Odin? Tehee. Apakah tujuannya sarung tangan Thanos yang palsu itu wujud?
Jika diambil kira berkenaan sarung tangan palsu ini, secara logiknya, sarung tangan Thanos wujud sudah sekian lama sebelum lahirnya Thor dan Loki. Dan Hela tahu kisah disebaliknya. Ya! itu bermaksud kewujudan sarung tangan ini adalah sebelum Loki mengambil alih Asgardian. Kerana, tanpa sarung tangan original, tidak mungkin akan wujud sarung tangan palsu kerana sarung tangan tersebut perlukan acuan. Kann?
Jadi, mengikut kronologi waktu, asal usul sarung tangan ini masih menjadi tanda soal dan mengelirukan. Sejak bila sarung tangan pertama atau original dihasilkan juga tidak diketahui.
Selain itu, plot cerita juga agak melompat lompat lantaran terlalu banyak lokasi yang berlangsung dalam satu masa. Hero juga berpecah ke sana sini membuatkan satu babak itu tidak boleh dipaparkan terlalu lama. Malah, disebabkan terdapat superhero yang belum pernah 'berkenalan' maka, terdapat banyak dialog tanpa aksi untuk memperkenalkan sesama hero ini terutamanya Hulk yang sudah lama tidak balik ke Bumi selepas kapal yang dinaikinya terhempas di Sakaar dalam filem Thor : Ragnarok tahun 2017.
Terlalu banyak dialog tanpa aksi mungkin akan tidak disukai oleh sesetengah penonton tambahan pula mereka yang kurang faham berkenaan jalan cerita Marvel yang sebelum ini atau mereka yang tidak suka movie yang slow. Jika dibandingkan dengan Thor : Ragnarok, persembahan Infinity War agak kalah sedikit bagi saya.
Lawak
Lawak dalam Marvel semakin menonjol terutamanya dari tahun 2012 dan ke atas berbanding tahun 2012 dan ke bawah. Ini bermaksud, Marvel sangat mengambil berat trend dalam peredaran zaman. Dalam Infinity War, pelawak yang sangat menonjol adalah watak Iron Man, Spiderman, Groot, Star Lord, Thor, Hulk, Drax dan Rocket.
Aksi dan Kualiti CGI
Kualiti CGI memang sangat mantap dan tiada apa yang mengecewakan. Berkenaan aksi dalam movie ini, saya masih sangat menyukai aksi di filem Thor : Ragnarok atau mungkin saya perlu menonton movie ini kali kedua di pawagam. Waahaha.
Pelakon/Watak Baru Penting Marvel dalam Filem Infinity War 2018
Black Order
Black Order terdiri daripada anak anak angkat Thanos iaitu Gamora, Nebula, Ebony Maw, Cull Obsidion, Corvus Glaive dan Proxima Midnight. Walau bagaimanapun, Nebula dan Gamora berpaling tadah dan tidak mahu meneruskan rancangan bersama Thanos selepas mendapat tahu kekuatan Power Stone di dalam filem The Guardian Of The Galaxy Vol. 1 tahun 2014.
Sumber Gambar : Trailer (Youtube) |
Kita sudah pun mengenali Gamora dan Nebula di dalam Filem The Guardian Of The Galaxy Vol.1 2014 dan Vol.2 2017. Di dalam filem The Avengers ke tiga ini, iaitu Infinity War, kita telah diperkenalkan pula dengan anak anak Thanos yang lain.
Nebula pernah menyebut berkenaan adik beradik yang lain di dalam The Guardian Of The Galaxy Vol. 1 di minit ke 01:05:54. Tetapi hanya dalam bentuk dialog tanpa menyebut nama dan Black Order.
Nebula menjerit dalam kapal memerahi kakaknya, Gamora. "You are a disappointment, sister. Of all our siblings, I hated you least." Sumber gambar : Movie di minit ke 01:04:54. |
Watak Ebony Maw dilakonkan oleh Tom Vaughan Lawlor. Ebony Maw adalah anak Thanos yang begitu setia dan sangat mempercayai perjuangan Thanos adalah yang terbaik. Ebony Maw juga mempunyai kuasa yang luar biasa dan sukar untuk dikalahkan. Dia hanya perlu menghayunkan tangannya untuk menggerakkan barang yang ada disekelilingnya.
Namun, malang sekali bagi Ebony Maw kerana mati oleh taktik manusia dari bumi. Maw mati akibat rancangan Spider Man mengikuti situasi yang dialami oleh Ellen Ripley yang dilakonkan oleh Sigourney Weaver dalam filem Aliens pada tahun 1979, 1986 dan 1992.
Dalam misi menyelamatkan Doctor Strange di dalam kapal Thanos berbentuk bulat (Donut ship bak kata Tony Stark), Iron Man telah melubangkan dinding kapal lalu Maw disedut ke luar kapal dan mati kerana ketiadaan oksigen. Nampaknya, kuasa yang kuat bagaimanapun, kalau tidak bijak, tetap mati. Wahaha... Dengan itu, Maw mati oleh Iron Man.
Cull Obsidian pula merupakan anak Thanos yang berbadan besar dan tinggi seperti tank. Watak Cull dilakonkan oleh Terry Notary. Ini bermakna, Terry Notary melakonkan dua watak. Watak kedua adalah Groot manakala suara Groot adalah milik Vin Diesel. Watak Cull jarang jarang muncul di dalam filem ini. Cull muncul pada awal cerita dan akhir cerita sahaja. Sama seperti adik beradik yang lain, Cull juga mempunyai kekuatan yang luar biasa.
Semasa misinya mendapatkan Time Stone bersama Maw, Cull termasuk ke negara lain hasil dari "lubang ajaib" oleh ilmu sihir milik Doctor Strange. Ketika itu, tangannya terputus kerana cuba untuk masuk kembali ke lubang itu tetapi terlambat. Walau bagaimanapun, nasibnya baik kerana hanya tangan yang terputus. Wahaha.
Corvus Glaive pula dilakonkan oleh Michael James Shaw. Corvus Glaive tidak pernah berengang dengan Proxima Midnight yang dilakonkan oleh Carrie Coon. Corvus Glaive mempunyai pakaian yang seakan Arabic keemasan dan dia tidak sekuat Maw. Hal ini kerana semasa Corvus dan Poxima sedang menyelesaikan misi mendapatkan Mind Stone dari Vision, Corvus dan Poxima boleh dikalahkan oleh Captain America, Natasha Romanoff dan Falcon.
Namun, pada ketika itu, mereka tidak dibunuh. Cull, Poxima dan Corvus mati semasa peperangan di Wakanda bersama askar Black Panther demi memperolehi Mind Stone yang gagal pada percubaan pertama. Cull dibunuh oleh Bruce Banner, Poxima dibunuh oleh Scarlet Witch atau nama lainnya adalah Wanda manakala Corvus Glaive dibunuh oleh Vision ketika Corvus mencuba untuk membunuh Captain America.
Gamora Kecil
Di dalam filem ini, terdapat beberapa imbas kembali berkenaan kehidupan Thanos dan kisah Gamora semasa dia masih kecil. Gamora kecil dilakonkan oleh Ariana Greenblatt. Ariana merupakan pelakon dari rancangan TV "Stuck in The Middle" pada tahun 2016 dan merupakan salah seorang watak di dalam filem "A Bad Moms Christmas" pada tahun 2017 sebagai watak bernama Lori.
Semasa Gamora masil kecil, Gamora tinggal bersama ibu bapanya di planet Zen-Whoberi. Zen-Whoberi adalah planet yang sedang mengalami kekurangan sumber makanan. Thanos mencuba menyelamatkan planet tersebut dengan cara yang tidak munasabah iaitu membunuh separuh dari penduduk agar planet tersebut seimbang dari segi sumber.
Ibu bapa Gamora dibunuh oleh Thanos tetapi Gamora dijadikan anak angkatnya dan dibesarkan bersama sama dengan Nebula dan adik beradiknya yang lain. Thanos membesarkan Gamora dengan melatihnya menjadi seorang yang layak dipanggil sebagai pembunuh professional.
Thanos merancang untuk menjadikan Gamora sebagai penggantinya kelak dan Gamora merupakan anak yang paling disayanginya berbanding dengan anak anaknya yang lain. Namun, Gamora tidak suka dan benci dengan rancangan Thanos untuk menghapuskan separuh dari alam semesta agar alam menjadi seimbang.
Berdasarkan filem ini, Gamora tidaklah kelihatan membenci Thanos seratus peratus kerana ketika Gamora berjaya membunuh Thanos di planet Knowhere, Gamora menangis teresak esak bagaikan mengalami kekesalan tetapi tiada apa yang boleh dilakukan melainkan membunuh bapa angkatnya itu agar rancangannya gagal bersama kematiannya.
Tetapi, Gamora tertipu. Babak dia membunuh bapanya hanyalah manipulasi dari kuasa Reality Stone yang digunakan oleh Thanos. Adegan pembunuhan tersebut hanyalah gambaran atau ilusi semata mata.
Tekaan saya 360 darjah meleset berkenaan Soul Stone.
Bagi saya, Marvel penuh dengan teka teki dan puzzle. Dalam movie Marvel sejak tahun 2008, dalam senarai di bawah :
1. Iron Man 1 2008
2. Iron Man 2 2010
3. Captain America : The First Avenger 2011
4. Thor 2011
5. The Avengers 2012
6. Iron Man 3 2013
7. Thor : The Dark World 2013
8. Captain America : The Winter Soldier 2014
9. The Guardian of The Galaxy Vol. 1 2014
10. Ant Man
11. The Avengers : Age of Ultron 2015
12. Captain America : Civil War 2016
13. Dr. Strange 2016
14. The Guardian of The Galaxy Vol. 2 2017
15. Thor : Ragnarok 2017
16. Spider-Man : Homecoming 2017
17. Black Panther 2018
18. The Avengers : Infinity War 2018
Terlalu banyak kisah Infinity Stone tetapi tak pernah memunculkan Soul Stone. Jadi, ia membuatkan saya dan peminat Marvel tertanya tanya dimanakah ia berada sehingga berlangsung perbualan dan perbalahan antara peminat Marvel mengetengahkan idea dan pendapat masing masing berdasarkan movie yang lepas lepas dan ada juga memberi pendapat berdasarkan komik.
Bagi kami peminat Marvel, ia sudah seperti "Dunia reality" berborak bagai nak rak. Seolah ia wujud depan mata. Geek people gelarannya. Wahaha.. (laa geek ke saya ni?) Jadi, saya sendiri tidak terlepas mengetengahkan pendapat kononnya, Soul Stone berada di planet Sovereign. Boleh baca di entri ini, "Keberadaan Batu Soul (Soul Stone) Terdedah Di Movie Guardian Of The Galaxy Pada Tahun 2017" .
Nampaknya pendapat saya meleset 360 darjah! Soul Stone bukanlah sesuatu yang begitu sukar untuk Thanos perolehi. Macam kacang je.. Malah bukan soul stone yang menjadi batu terakhir yang perlu Thanos buru tetapi Mind Stone. Siapa sangka? ya... siapa sangka batu Mind Stone adalah batu yang diletakkan di tengah tengah sarung tangan Thanos? bukan soul stone..
Sumber Gambar : Google |
Jalan cerita dalam movie Marvel ada juga bezanya kalau dibandingkan dalam komik malah sangat banyak perbezaanya. Soul stone rupanya berada di planet Varmir (ejaan yang betul tak boleh ingat. Nanti dah ingat saya ubah..tehee). Saya tak pernah mendengar planet ni sebelum ni di movie sebelum ni. Atau mungkinkah saya terlepas pandang? Hhuhu..
Elemen kejutan
Gamora dan Thanos Mendapatkan Soul Stone di dalam Filem Infinity War
Dalam perjalanan ke planet Knowhere, Gamora dan Peter Quill sedang borak borak dalam kapal, Gamora minta Peter Quill untuk membunuhnya sekiranya Thanos berjaya menangkapnya. Saya menonton dengan perasaan tertanya tanya lalu berbisik dalam hati, 'dah kenapa pula minah ni minta dibunuh? Sebab tak nak tinggal dengan bapa angkat dia si Thanos yang comel tu ke?' Whahaha..
Rupanya..
Gamora menyimpan satu rahsia penting. Apabila mereka sampai ke planet Knowhere iaitu lokasi muzium si tukang kumpul, Thanos sudah pun berada di sana. Kenapa Thanos juga berada di Knowhere? Sebab Thanos ingin mendapatkan Reality Stone dari si tukang kumpul yang bernama Taneleer Tivan tersebut. Bagaimana Reality Stone boleh berada di planet Knowhere? Boleh baca entri bertajuk, "Kisah Dan Maksud Disebalik 6 Batu Infinity Dan Dimanakah Setiap Batu Ini Berada?"
Di planet inilah Peter Quill membunuh Gamora atas permintaan Gamora sendiri. Chop! Jangan panik. Peter Quill memang menembak Gamora tetapi peluru Peter Quill bertukar menjadi buih hasil dari muslihat Thanos menggunakan kuasa Reality Stone yang boleh memanipulasikan situasi atau keadaan. Gamora masih hidup dan Thanos membawa Gamora pergi melalui portal hasil kuasa dari Space Stone.
Tidak mungkin Thanos akan membunuh Gamora. Gamora adalah anak kesayangannya. Lagipun, Thanos mahukan rahsia yang disimpan oleh Gamora sekian lama.
Jadi, apakah rahsia Gamora yang sangat penting? Yes! Peminat yang bijak pasti boleh meneka di dalam hati, rahsia tersebut adalah dimanakah Soul Stone berada. Yang pasti, bukan dengan Heimdall, bukan dengan Doctor Strange, bukan juga dengan Ayesha seperti saya dan peminat peminat Marvel bermain teka teki sebelum movie ini ditayangkan. Tehee...
Kemudian,
Kasih dan hati yang sayang Gamora kepada Nebula, telah diuji oleh Thanos. Kalau tak dedahkan lokasi Soul Stone, Thanos akan membunuh Nebula. Maklum, Nebula bukan anak kesayangan dia. Nebula tak sehebat Gamora. Hhuhuhu...
Dengan simpati dan betapa sayangnya Gamora terhadap Nebula, Gamora terpaksa dedahkan lokasi Soul Stone. Maka, pergilah Thanos dan Gamora ke planet Varmir untuk mendapatkan Soul Stone.
Apa yang Thanos tidak tahu tentang Soul Stone adalah Soul Stone tidak boleh diperolehi tanpa pengorbanan. Macam kisah Jin dengan Tumbal la pula. Uhhuhu.. Apakah pengorbanan yang dimaksudkan? Pengorbanan yang dimaksudkan adalah, Thanos wajib mengantikan jiwa/nyawa insan tercinta sebagai ganti mendapatkan Soul Stone.
Kepada yang sudah menonton Filem The Guardian Of The Galaxy Vol 1 dan 2, sudah pasti tahu siapakah insan kesayangan Thanos. Yep.. Gamora adalah anak kesayangan Thanos. Meskipun hanya anak angkat, tapi Gamora adalah anak kesayangan Thanos sehingga Thanos ingin menjadikan Gamora sebagai pengganti takhtanya kelak.
Namun, Thanos sangat mengutamakan matlamatnya dan terpaksa mendapatkan Soul Stone tersebut. Dalam dunia realiti, ia dipanggil "first thing first". Meh..
Maka, terkorbanlah Gamora demi Soul Stone.
Redskull Belum Mati Ketika Di Filem Captain America : The First Avenger 2011
50% penonton dalam pawagam mengeluarkan bunyi terkejut apabila terlihat wajah Redskull di planet Varmir. Sekian lama Redskull dianggap mati atau menghilang di dalam filem Captain America : The First Avenger tahun 2011 rupanya Redskull hanya lah termasuk ke portal yang terhasil dari Space Stone ketika dia memegang Space Stone di dalam kapal bersama Captain America di minit ke 01:44:41.
Sumber Gambar : Movie di minit ke 01:44:41 |
Redskull merupakan penjaga atau Soul Stone Keeper di planet tersebut disebabkan hanya dia yang berada di planet tersebut. Bagaimana Redskull boleh berada di planet Varmir mungkin dari portal yang terbuka ketika dia menyentuh Space Stone. Tetapi, bagaimana Redskull boleh menemui Soul Stone masih menjadi tanda tanya.
Selain itu, terdapat satu persoalan lagi berkenaan Redskull. Ketika di planet Varmir, Redskull nampaknya boleh terapung ataupun terbang. Dari mana datangnya kebolehan dia boleh terbang sedangkan semasa di filem sebelum ini, Redskull hanyalah seorang manusia kajian yang tidak boleh terbang? hrmmm...
Dia bakal muncul dalam movie seterusnya ke? Untuk menjelaskan semua persoalan ini? Wahahaha..
Thanos kelihatan Comel. Kekuatan dan Kekejaman Thanos yang Dihebohkan Semuanya Palsu.
Bagi saya, Thanos bukanlah 100% jahat atau kejam. Ada sebab kenapa Thanos merancang untuk menghapuskan separuh dari alam semesta. Selain itu, ada sebab kenapa Thanos tak faham berkenaan kehilangan insan tersayang dan kurang arif tentang kasih dan sayang yang sebenar.
Apa yang digemparkan bahawa "THANOS SEORANG YANG KEJAM DAN TERKUAT" tu fake belaka. Kenapa saya kata fake? Orang yang kejam tak ada hati. Thanos boleh menangis pula semasa membunuh Gamora. Malah hatinya terseksa dan sengsara merasa kehilangan bak kata Mantis. Kelakar tapi menyentuh perasaan.
Asal usul Thanos pernah saya ceritakan di entri bertajuk, "Siapakah Thanos dan Fakta Yang Wajib Kita Ketahui Sebelum Menonton Infinity War Marvel".
Thanos adalah keturunan Titan dan lahir dalam keadaan cacat rupa paras. Oleh itu, Thanos diabaikan oleh keluarga. Dibesarkan dalam keadaan terbuang. Maka, Thanos tidak tahu erti kasih dan sayang. Malah, dia kurang arif perihal kehilangan insan tersayang.
Jadi, kehilangan Gamora merupakan kehilangannya yang pertama.
Misi Utama Thanos
Misi utama Thanos adalah untuk menyeimbangkan alam semesta. Contohnya, dalam satu ekosistem perlukan keseimbangan. Pemangsa yang terlalu banyak akan memupuskan mangsa. Mangsa yang terlalu banyak, akan membuatkan pembiakan tidak dapat dikawal.
Oleh itu, Thanos ingin memusnahkan separuh dari alam semesta adalah kerana ingin menjadikan semesta ini seimbang. Tiada kebuluran mahupun kekurangan sumber keperluan seperti air atau makanan.
Dalam satu komuniti, terlalu ramai manusia akan berlaku kekurangan makanan, maka, kalau misi Thanos, dia bukan tambah sumber makanan tapi dia akan kurangkan manusia dengan cara membunuh mereka.
Oleh hal yang demikian, Thanos ingin mendapatkan semua Infinity Stone untuk melesapkan separuh dari alam semesta tanpa membunuh kerana membunuh itu adalah perbuatan yang menyeksakan seseorang yang dibunuh mahupun orang yang melihat pembunuhan tersebut.
Lagipun, ia sangat mudah iaitu dengan memetik jarinya sahaja separuh dari kehidupan akan lesap tanpa bersusah payah membunuh mahupun berhadapan dengan peperangan.
Thanos Tidaklah Sekuat Yang Disangka
Tanpa Infinity Stone, mungkin misinya untuk mengimbangkan alam semesta mengikut pemahamannya akan gagal. Hal ini kerana, Black Order boleh dikalahkan oleh The Avengers dan superhero yang membantu.
Berdasarkan movie ini juga, Captain America mampu menolak tangannya.
Iron Man, Spiderman, Doctor Strange dan pasukan Guardian Of The Galaxy boleh juga membuka sarung tangan Thanos ketika cubaan menidurkannya oleh kuasa milik Mantis. Namun, gagal disebabkan kebodohan Peter Quill mengikut emosinya.
Jadi, Thanos bukanlah sejenis Makhluk yang terlalu kuat. Thanos masih boleh dikalahkan jika Thanos tidak memiliki Infinity Stone. Di sebabkan sekarang Thanos sudah memiliki semua Infinity Stone, maka tidak diketahui siapakah yang bakal mengalahkan Thanos. Adakah Captain Marvel? atau Adam Warlock?
Movie Seterusnya Selepas Infinity War
Sebelum Infinity War ditayangkan, peminat Marvel sudah pun maklum bahawa Infinity War mempunyai dua bahagian. Di mana pada mulanya tajuk filem ini berbunyi "Infinity War Part 1" tetapi perkataan "Part 1" telah dibatalkan dari tajuk. Menurut pengarah filem ini, Infinity War Part 2 ditukarkan tajuk yang lain yang belum diketahui lagi hingga ke hari ini.
Namun, terdapat andaian bagi peminat Marvel sendiri berdasarkan Komik, tajuk kedua adalah "The Avengers : Infinity Gauntlet" kerana ketika itu akan berlaku rampasan sarung tangan Thanos. Andaian ini berlaku kerana, berdasarkan komik, tajuk pertama sepatutnya "Infinity Gauntlet" bukan "Infinity War". Tetapi nampaknya, MCU telah menggunakan tajuk kedua. Adakah The Avenger ke 4 akan menggunakan "Infinity Gauntlet" ?
Disebabkan komik terlalu banyak versi untuk watak watak tertentu dalam Marvel, maka adalah sukar untuk mendapat tekaan yang betul di dalam movie. Sedangkan, dari filem Marvel sejak tahun 2008 hinggalah 2018 telah dimasukkan pelbagai versi dari komik ke dalam movie.
Sebagai contoh, dalam Infinity War, pada awal cerita, Tony Stark sedang beriadah bersama isterinya, Pepper. Mereka berborak berkenaan anak lelaki di dalam mimpi Tony dan akan dinamakan Morgan sempena nama pakciknya. Jadi, kemungkinan, Morgan Stark akan menjadi pengganti Iron Man sekiranya Tony Stark mati dalam peperangan atau bersara suatu hari nanti.
Tetapi, untuk pengetahuan kita bersama, "Morgan Stark" adalah sepupu perempuan kepada Tony jika di dalam komik. Bukanlah anak lelaki Tony. Morgan pula mempunyai anak bernama "Arno Stark".
Malah, Adam Warlock yang dicipta oleh Ayesha dalam filem The Guardian Of The Galaxy Vol. 2 juga tidak muncul di dalam Infinity War sebagai watak yang berkaitan dengan Soul Stone jadi ini membuatkan peminat lebih tertanya tanya lagi berkenaan The Avenger ke 4. Adakah Thanos akan insaf dan mengembalikan semua orang yang lesap menggunakan Time Stone? Logik bukan? Kerana Vision boleh dihidupkan semula semasa Wanda memusnahkan Mind Stone di Wakanda.
Semua Superhero Yang Telah Mati Akan Hidup Semula
Adalah perkara biasa dalam movie Hollywood superhero akan hidup semula. Wahaha... Dah berapa kali menonton movie hero/heroin hidup semula?
Ini bukanlah pendapat peribadi saya tetapi ini adalah berdasarkan dari Filem The Guardian Of The Galaxy Vol . 2. Di mana Ayesha telah mencipta Adam untuk membalas dendam terhadap pasukan Guardian Of The Galaxy (Peter Quill, Rocket, Groot, Drax, Mantis, dan Gamora) lantaran telah mengalami kerugian 3 biji bateri yang bernama "Anulax Batteries" dan dron mereka yang musnah secara besar besaran semasa di planet Ego.
Itu menunjukkan bahawa, The Guardian Of The Galaxy Vol. 3 akan muncul bila bila masa sahaja pada tahun 2020 selepas The Avengers ke 4 dan Captain Marvel pada tahun 2019.
Oleh hal yang demikian, tanpa watak Peter Quill, Rocket, Gamora, Drax, Mantis, dan Groot, tiada makna lah Adam diciptakan oleh Ayesha. Kann?
Jangkaan The Avengers ke 4 ditayangkan adalah pada Mei 2019 dan Mac 2019 untuk tayangan Captain Marvel. So, Be ready. Tehee.
Captain Marvel
Watak Captain Marvel telah muncul di dalam filem The Avengers : Infinity War 2018 di pos kredit dalam bentuk logo. Logo Captain Marvel terpapar di skrin alat penghubung milik Nick Fury. Nick sempat menghubungi Captain Marvel sebelum Nick lesap oleh kuasa Infinity Stone di bumi.
Dari manakah datangnya Captain Marvel? Kalau nak tahu kena tonton Captain Marvel pada tahun 2019!
Kesimpulannya, Filem Infinity War menambahkan lagi debaran walaupun kebanyakkan superhero mati. Untuk peminat peminat Iron Man yang risau Iron Man mati, rileks, Tony Stark belum mati. Wahahaha...
Paling tak boleh belah, Groot nampaknya mati sekali lagi. Penat je Rocket besarkan dia sampai jadi remaja.. VvaaahHHHH!
Terima kasih baca.
Jumpa di lain entri.
With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinahlamudin, @sofinahlamudin2.0, @blogsofinahlamudin, @jejakmoment, @labuanblogger, @sopheestudio, @sopheericher .
8 Kata-kata Dari Teman:
tak minat..semua org bercerita sis mampu terdiam tutup telinga je huhu
tak sabar tunggu sekuel filem
Hidup Thanos
hehehe... kalau saya pun macam tu kak. Kalau tak minat atau tak faham, diam je. hehehe... sebab tak faham apa diorang cerita.
Kann? hehehe.. saya pun sama... Tak sabar nak tengok Captain Marvel dan kisah Thanos seterusnya.
Wow, ini bkn sebarang review - sungguh komprehensif! Sengsara menunggu sequel...
Hahaha.. terima kasih baca Review Penuh Movie Infinity War (Amaran : Spoiler Alert) ni. Memang seksa nak tunggu... huhu.. kalau boleh lepas tengok yang ni, terus tengok yang seterusnya. Wahaha.
Nak tanya ending dia, apa perkaitan ada sebahagian superheroes mula menghilang dan sebahagian lagi masih terselamat.
Hi Redzuan Rasul, Thanos dapat semua batu Infinity dan mempunyai kuasa luar biasa dengan hanya petik jari je dia boleh buat apa sahaja termasuklah melenyapkan 50% dari penduduk alam semesta secara rawak. So, ada beberapa superhero yang termasuk dalam 50% tersebut. Dah ada yang masih hidup.
Catat Ulasan