SELAMAT DATANG KE BLOG SOFINAHLAMUDIN.COM

Sila gunakan
untuk memudahkan pencarian topik dan pembacaan di dalam blog ini.


Selasa, 31 Disember 2019

Cerita Bulan Januari Hingga Disember 2019 Sofinazz - Halaman 2 | Februari 2019

Cerita Bulan Januari Hingga Disember 2019 Sofinazz - Halaman 2 | Februari 2019


Sambungan dari HALAMAN 1 (Cerita Bulan Januari Hingga Disember 2019 Sofinazz - Halaman 1).

Assalammualaikum dan Hi My Sugarpeeps!,

Vvaaah! Akhirnya saya sediakan masa untuk menyambung "Cerita Bulan Januari Hingga Disember 2019 Sofinazz" ni. Halaman pertama, saya tulis pada bulan November. Pada asalnya, tajuk cerita ni adalah "Cerita Bulan Januari Hingga Oktober 2019 Sofinazz"...Wahahaha... Dah kenapa masa November pun jadi noob saya ni? Nak tulis hal hal mudah pun tak boleh. Susah kan kalau masalah datang dari dalaman. Semua benda tak jadi. Nasib baiklah Mr.Bee ada di waktu down.

Saya menulis entri untuk halaman ke 2 ni pada 30 Disember 2019, jam 10:17 PM. Dan-- belum tentu saya akan publish pada 30 Disember 2019 juga. Wehehe... Jika korang dah pun membaca entri ni, mungkin saya telahpun mempublish entri ni pada 31 Disember atau di tahun yang baru-- 2020 (Dalam bulan Januari).

OK! Sekarang mari saya kongsikan pula kisah bulan Februari 2019.

Februari 2019

Cerita Bulan Februari 2019

Membaca Buku Harry Potter dan Menonton Movie Harry Potter

Awal bulan Februari, saya masih lagi dalam mood membaca buku. Selepas membaca buku Harry Potter and The Cursed Child (Dalam Bahasa Inggeris), saya mula tak dapat nak move on. Wahahaha... Saya mula membaca buku Harry Potter and The Sorcerer's Stone (Dalam Bahasa Melayu) walaupun saya dah tahu jalan cerita dalam siri pertama tu. Siri pertama dalam siri HP merupakan siri paling saya suka dalam sepanjang siri HP. Sebab itulah permulaan perjalanan Harry yang penuh bermakna dengan menyertai keluarga Hogwarts.


Dah siap membaca buku tu, saya siap sibuk membuat analisis pula dah dalam buku tu. Siapa mencari tahu bahagian mana atau babak mana yang tak ada dalam movie. Seronok pula buat macam tu sampai tenggelam (lupa diri). Melaratlah ke menonton movienya. Duhh... Umur dah otw ke 3 series sekarang ni, minat saya terhadap HP langsung tak pernah berubah. Sama lah kalau saya sayang orang. Susah tau nak lepas (ehh? Kesitu pula...Wahahahaha).

Sebenarnya, tujuan saya membaca buku HP tu, sebahagian dari projek saya untuk Sillywonk.com. Tapi tu lah, saya ni kalau dah menyelam terlalu dalam, lama baru nak ke permukaan semula. Makan masa. Saya tak pasti macam nak jelaskan. Macam sejenis penyakit juga. Hhuhu...

Silly Wonk Ditinggalkan

Gara gara menyelam ke alam fandom terlalu lama iaitu melayan minat Harry Potter tu lama sangat, target saya dengan Sillywonk.com mula semakin pudar. Alahai... baru bulan Februari ni. Percaya atau tidak, hanya kerana HP, saya bukan sekadar menyelami alam Harry Potter yang tak wujud malah saya mula berada di dalam dunia masa lampau. Korang pernah tak jadi macam ni?

Disebalik HP ni, banyak sangat kisah dalam dunia realiti saya semasa di bangku sekolah dahulu. Jadi, HP ni sedikit sebanyak mengheret saya kembali ke masa lampau. Gambarannya, macamni-- Jasad memang ada di sini tapi minda masih kat belakang. Kat 10 tahun yang lepas. Contohnya, pemberian seseorang yang ada sangkut paut dengan HP buat saya merasa dalam moment tu semula walaupun barang tu dah tak ada depan mata sebenarnya.

Antara kisahnya, seorang guru bahasa Inggeris yang menghadiahkan saya sebuah majalah gempak keluaran tahun 2005 (Hujung tahun). Muka depan majalah tu, terpampang wajah Daniel Radcliffe di mana beliau merupakan pelakon utama yang memegang watak terkenal, Harry Potter. Majalah Gempak tersebut meng-highlight Harry Potter and The Goblet of Fire sebab penghujung tahun 2005, iaitu pada 17 November 2005 merupakan tarikh movie tersebut release.Itulah tarikh paling ditunggu tunggu oleh Potterhead. Vvaaah!

Selain tu, ada seorang lagi guru Bahasa Inggeris yang menghadiahkan saya DVD Harry Potter yang dikompilasi dari HP pertama hinggalah yang kelima. Masa tu, tahun 2007. Harry Potter paling latest waktu tersebut adalah Harry Potter and The Order of Phoenix.

Jadi, oleh kerana kesukaran nak kembali ke current time tu, lupa dah dengan Sillywonk.com. Tertinggal Sillywonk di belakang. Uhrmm...

Mencuba Permainan Video : Harry Potter Hogwarts Mystery (Mobile dan Bluestacks)

Selain dari membaca buku dan menonton HP movies di bulan Februari ni, saya mencuba juga satu permainan video mobile yang terkenal dalam kalangan Potterhead iaitu Harry Potter Hogwarts Mystery. Pada mulanya, saya install game ni untuk cuba cuba sahaja. Tak ada la nak serius mana pun. Lama lama, saya mula ketagih pula dah. Dalam game ni, korang akan merasa seolah olah korang betul betul berada dalam Hogwarts. Ya Allah laaa.... dalam game tu, kononnya abang saya hilang entah ke mana... Saya sebagai adik dia, yang penuh dengan tanda tanya, kenapa perginya abang saya, di mana nak cari, apa clue nak jumpa Si abang ni. Hhaaah! Sampai begitu misteri sekali. Perasaan masa main tu rasa berdebar debar.


Malangnya, sistem masa dalam game ni agak menyusahkan pemain juga lah. Semasa sedang kusyuk mencari jawapan setiap persoalan persoalan misteri tentang abang yang hilang, kita tiba tiba tak cukup 'energy'. Aduhlah... kena pula menunggu sejam dua (real time) untuk memperolehi 'energy' baru.

Hal yang lainnya, sedang kita seronok nak menghurai segala puzzle, kena pula masuk kelas. Wahahaha... Bila masuk kelas, macam macam potion segala jampilah kita belajar dalam kelas tu. Sama macam kita tengok dalam movie HP tu. Saya enjoy je main masuk masuk kelas ni. Yang buat saya rasa tak mampu nak bersabar dalam game ialah...masalah 'energy' tak cukup tu. Hhaaah! Nak ada energy banyak kena beli pula. Beli bukan guna mata wang hogwarts ke apa ke. Kena beli real lah. Pakai duit...

Tapi, korang percaya ke tidak, pengaruh game ni dengan saya boleh tahan hebat juga. Saya siap beli kucing dalam game tu! Dalam game tu juga akan ada beberapa challenge. Gara gara nak accomplish challenge game ni, saya kena bangun pula sekitar jam 4 pagi, 2 pagi dan mana mana jam lah yang terkena untuk selesaikan segala challenge yang melibatkan 'energy'.

Walaupun macam tu, ada juga hal yang buat saya tak suka dengan game ni. Di mana kita kena ada 'energy' yang banyak sewaktu mencari makanan untuk haiwan yang wajib kita beri makan dalam game tu. Masalahnya, 'energy' ciput sangat. Kalau nak cepat, kena beli. Sah sah la I tak akan beli. Beli kucing satu tu lain cerita laa... Wahahaha...

Begutlah kisah saya dengan game HP ni. Ada lagi game HP yang lain saya nak cuba tapi saya takut jadi ketagih pula dah. Elok jangan dulu lah. Postpone dulu lah kan sampai lupa. Kehkehkeh...

Good Reads

Apa itu Good Reads? Good Reads ni adalah laman sosial paling digemari oleh ulat buku. Saya anggap ia sebagai social media lah sebab melalui GR ni pun ulat buku boleh berkomunikasi sesama mereka. Mereka boleh berbincang mengenai buku buku kegemaran mereka dan sebagainya yang berkaitan dengan buku yang sedang dibincangkan. Saya newbie lagi dengan GR ni. Kena explore banyak juga dalam GR ni nak memahami selok belok GR. So, antara aktiviti saya bulan Feb adalah tour GR.

Ni Profile Good Reads saya yang baru setahun jagung.

Tidak hairan lah kenapa ulat buku sukaaaa sangat lepak kat GR ni. Perkara yang menarik minat saya dalam GR ni adalah widget yang disediakan oleh platform GR ni. Salah satu widget yang saya suka dalam GR adalah Reading Challenge dalam satu tahun. Widget tu boleh kita letakkan kat blog kita. Saya letak kat blog Sillywonk.com. Saya tak letak kat blog ni.

Pada penhujung tahun, akan muncul satu laporan hujung tahun mengenai perjalanan ulat buku sepanjang tahun. Ia dipanggil sebagai 'My year in books'. Year in books ni akan menyediakan data daripada keseluruhan pembacaan kita sepanjang tahun tersebut. Contohnya, berapa muka surat kita baca selama setahun, berapa buah buku kita baca selama setahun dan...paling seronok, ketebalan buku paling nipis yang kita baca dalam tahun tersebut pun ada. Paling tebal pun ada juga.

Hal yang paling menyeronokkan dalam GR adalah sistem rating buku dan review daripada ulat buku yang sudah membaca buku tersebut. Sesiapa yang belum membaca buku tersebut, nak tahu apa komentar dari pembaca yang sudah khatam buku tersebut, boleh lah ke GR untuk mengetahui pendapat orang lain mengenai buku tersebut.

Kita boleh mengetahui juga buku yang paling popular mengikut genre kat GR. Kalau saya, kat GR ni saya rasa sama macam kita sedang berada dalam kedai buku. Tengok tengok buku apa nak beli. Cuma kat GR advance sikit lah sebab kita boleh baca review, analisis dan ulasan orang lain mengenai buku tersebut. Malah boleh mendapat berita buku bakal release pun boleh kat GR sebab sangat ramai ulat buku yang membuat advance review dalam GR,

Advance review maksudnya, mereka sudah pun membaca buku yang belum pun release di pasaran. Mereka akan kongsikan dengan kita pendapat dia mengenai buku tersebut. Berapa bintang dia bagi selepas baca buku tersebut boleh diketahui di GR ni selain dari Bookstagram dan blog.

Sesiapa yang ada account GR, tak semestinya dia ada blog dan bookstagram. Tapi, bookstagram book blogger memang wajib ada GR. YyahhH! Dan saya salah seorang yang baru je buka account GR ni. Wahahaha...

Mengumpul Note Pad

Bulan Feb ni banyak juga saya beli Note pad. Tujuan nak guna semasa nak menulis nota penting bila kita sedang membaca buku. Biasa masa membaca buku tu akan ada terfikir sesuatu nak tulis semasa kita nak review buku tu. Tak nak terlupa jadi, boleh tulis kat note pad. Tampalkan di muka surat yang berkaitan.


Selain tu, saya nak guna untuk menghias buku nota, diary dan skrap book. Begitu juga kalau nak buat reminder, guna notepad senang. Tampalkan sementara kat PC atau kat mana mana yang boleh nampak. Kadang, tulis quotes dari buku atau artikel yang sedang kita baca pun saya suka tulis kat notepad juga. Cuma, saya tak ada idea lagi nak buat tempat letak semua notepad tu supaya kemas. Sementara waktu buat la tampal macam dalam gambar kat bawah ni dulu.

Menonton Battle Angel : Alita

Siapa menonton movie Alita juga? Alita : Battle Angel ni released pada 4 Februari 2019. Saya suka movie animasi macam ni. Kali ni, tak ada la 100 peratus animasi sebab ada real people yang berlakon dalam movie tu. Tu yang membuatkan movie ni semakin menarik. Kisah kehidupan robot dan manusia. Manusia boleh menjadi robot dan pelbagai lagi.

Saya dan Mr.Bee menonton movie ni di Perdana Cineplex, Wilayah Persekutuan Labuan. Tiket wayang yang kami tempah sekitar jam 6:30 petang. Disebabkan beli tiket awal sangat, pergi lepak makan dulu kat Singapore Chicken Rice-- Makan kentang goreng, nasi dan sayur kegemaran.


Saya sebenarnya tak notice pun tentang movie ni. Mr.Bee yang bagitahu. Pertama kali saya tengok watak Alita tu, saya memang automatik tahu pelakonnya siapa. Siapa lagi kalau bukan budak comel yang jadi Brenda dalam Maze Runner : The Scorch Trials, ROSA SALAZAR. Fuuhh nama dia pun seemmaarrt betul.

Muka Rosa Salazar sangat sesuai di animasikan menjadi Alita. Mata yang sengaja di besarkan agar kelihatan bertambah comel macam kartun Disney-- Belle dalam Beauty and The Beast, Repunzel dari Tangled, Anna dari Frozen, dan banyak lagi kartun yang bermata besar. Walaupun begitu, saya tetap tahu Rosa disebalik wajah Alita meskipun matanya sebesar lukisan 'Big Eye' oleh pelukis terkenal dari America, sekitar tahun 70an. Beliau adalah Margaret Keane.

Movie Alita ni ketara sangat bakal ada sambungan. Ending dia agak tergantung tapi...biasanya akan disambung JIKA movie tu box office. Harap ada sambungan sebab saya bagi 5 bintang. YyeahhH!

Menyambut Hari Lahir Mr.Bee Dengan Kek Yam

Alhamdulillah. 22 Feb 2019 merupakan tarikh lahir Mr.Bee yang ke 31 tahun. Di hari lahir Mr.Bee kali ni, kami sambut kat WP.Labuan sahaja. Syukur dengan pendapatan yang sederhana melalui blogging dan menjadi penulis bebas, saya boleh ajak Mr.Bee keluar makan sempena hari lahir dia.



Mr.Bee suka Yam. Tak kiralah dalam bentuk apa, ais krim, biskut, kek atau keropok. So, untuk hari yang istimewa ni, saya belanja kek Yam untuk Mr.Bee. Kalau saya beli kek coklat, nanti bukan dia yang ngapp.. saya yang ngappp... Wahahaha...

Sempat take away PEZZO sebelum lepak sini makan kek.

Saya ni bertuah sebab ada husband yang tak cerewet hehehehe. Apapun saya beli, dia on. Dia okay. Tahun lepas (2018) saya ada extra budget, ajak laa Mr.Bee makan kat hotel (Hotel biasa je laa). Kali ni, saya ajak makan makanan kegemaran dia je kat SugarBun. Ikan talapia. Fuuhhh... I peminat ayam, bukan ikan tapi...masa awal awal kenal Mr.Bee dulu, dia ajak saya try makan Talapia ni. Tak sangka betul lah. Habis 1 pinggan. Wahahaha... So, ni kira ajak makan sambil mengimbau masa awal awal kenal dulu lah. Tehee...


Walaupun dah mencecah 31 tahun, Mr.Bee ni cool je. Tak macam saya... Kalau saya dulu 17 tahun bertukar jadi 18 pun saya dah cemas. Wahahaha... Masa saya tingkatan 4 dulu, ada seorang guru bagi saya hadiah sempena hari lahir saya ke 16 tahun, dia share satu quotes, "Age is just a number". Yes... she's right. Now, I understand.

I hope, tahun depan (2020) saya boleh buat aktiviti yang lebih seronok lagi dengan Mr.Bee di hari lahir dia. Semoga Allah panjangkan umur kami dan tua bersama-- menikmati perjalanan hidup bersama. #LebahBungaTerbangTinggi.

Kenduri

Awal bulan, sempat menghadiri majlis pernikahan saudara jiran. Di bawah ni beberapa gambar dengan keluarga dan sepupu, Anna.




OKlah. Sampai sini dulu "Cerita Bulan Januari Hingga Disember 2019 Sofinazz - Halaman 2 | Februari 2019".

Untuk kisah bulan Mac dan seterusnya, bersambung nanti...

Terima kasih sebab membaca and supporting me, Sugarpeeps!


With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinah696, @sopheestudio, @sillywonk, @sopheericher

Share:

Sabtu, 21 Disember 2019

Menyihatkan Kolon dan Memulihkan Kulit Dengan Kitsui White Berries Tanpa Gula | Sesuai Untuk Mereka Yang Mengamalkan Makanan Tanpa Gula

Menyihatkan Kolon dan Memulihkan Kulit Dengan Kitsui White Berries Tanpa Gula | Sesuai Untuk Mereka Yang Mengamalkan Makanan Tanpa Gula

Assalammualaikum dan Hai My Sugarpeeps!,

Jika korang perasan, pada 23 September 2019, saya ada memuat-naik foto saya dengan satu produk. Nama produk tersebut ialah KITSUI WHITE BERRIES. Jadi, sekarang dah bulan Disember. Maksudnya, saya dah menggunakan produk ni selama 2 bulan lebih. Saya menggunakan produk ni sebab produk ni selain daripada nak menyihatkan kulit, ia boleh menyihatkan kolon kerana ada fungsi menyeimbangkan bakteria dan pertahanan sistem imun badam. Malah ada fungsi detoksifikasi. Macam mana KITSUI ni boleh ada fungsi detoks pula? Sebabnya, dalam produk ni mengandungi Buah Monk. Jadi, buah Monk ni yang 'menjalankan tugas' dia untuk membuat proses 'mencuci' a.k.a detoks tu. Bukan hanya nak cantik cantik je gitu..Tehee! OK! Teruskan membaca, saya akan kongsikan lebih lanjut lagi.





Pembungkusan Produk

Pembungkusan produk dia ringkas dan ringan sahaja.Tak ada la rumit sangat. Tak menggunakan kotak. Memang produk ni fokus dia adalah fungsinya. Bukan sekadar luaran semata mata. Hhaaah! Boleh tengok kat dalam video di bawah ni untuk melihat pembungkusan dia, macam mana rupa dalam dia, dan apa rupa dia bila dah jadi minuman. Ada kan orang yang nak tahu sampai teliti macam ni sebelum mencuba dan membeli produk? Wahahaha... Macam saya laa tu. Oh ya! Warna produk ni merah jambu lembut. Ala ala kawaii lah gitu. Comel!



Tentang Produk

Kitsui merupakan produk daripada GEMINI BEAUTY REASOURCES (M) SDN. BHD. Boleh di dapati di Watsons. Saya yakin sangat tempat ni adalah tempat kegemaran perempuan perempuan yang suka cantik. Betul tak? Tak kurang juga dengan mereka yang suka mendapatkan produk kesihatan satu keluarga. Jadi, Sesuai sangatlah kan. Harga pun memang jarang mengecewakan. Mampu milik kalau kat sini. Dalam satu paket, ada 20 sachet kat dalam. Bolehlah untuk 20 hari pengambilan. 1 hari, 1 sachet.

Kelebihan Produk

Tanpa Gula dan Rasanya

Bila sebut produk tanpa gula, apa yang korang biasa fikirkan? Rasanya dia tak sedap kan? Wahaha. OK! Tak sama macam Kitsui White Berries tau. Walaupun tanpa gula, tapi rasa dia sedap dan masih manis. Kenapa tanpa gula tapi produk ni manis? Boleh baca sampai habis, korang boleh tahu dari mana datangnya rasa manis tu. Rasa produk ni dari ramuan asli membuatkan rasanya sangat sedap. Bagi yang sedang dalam mod diet atau sedang dalam proses menurunkan berat badan, Kitsui ni sangat sesuai sebab tanpa gula. Tak perlu risau berapa kandungan gula atau kalori korang bertambah satu hari. Jangan risaulah.

Ramuan dan Kelebihannya

Sebut mengenai ramuan produk ni, bahagian ni adalah bahagian paling saya suka dalam mengongsikan produk ni sebab ada buah monk.



Senarai ramuan produk :

1. Maltodektrin - Maltodektrin adalah serbuk putih yang diperbuat daripada jagung, beras, kanji kentang atau gandum.
2. Serbuk Jus Acai Beri - Acai beri adalah buah yang hampir menyerupai buah anggur dan bewarna ungu gelap kemerahan. Sering ditemui di hutan hujan Amerika tengah dan Selatan. Rujuk gambar di di bawah.

Menyihatkan Kolon dan Memulihkan Kulit Dengan Kitsui White Berries Tanpa Gula | Sesuai Untuk Mereka Yang Mengamalkan Makanan Tanpa Gula


3. Vitamin C - Nutrisi.
4. Serbuk Jus Ubi Bit - Sejarah mengatakan, ubi bit ditemui di Netherlands, Thebes dan mesir. Rujuk gambar di bawah.



5. Acid Sitrik - Asid sitrik adalah asid organik berformula kimia C6H8O7. Ia terhasil secara semulajadi di dalam buah sitrus.
6. Guar Gum - Guar gum juga dikenali sebagai Guaran. Guar gum dibuat dari kacang kacangan yang dipanggil kacang guar. Guar gum biasa digunakan sebagai makanan tambahan di dalam banyak jenis makanan proses.



7. Trikalsium Phosphate - Trikalsium Phosphate merupakan garam kalsium yang terdapat di dalam kebanyakan makanan tambahan.
8. Asid Alfa Lipoik - Kebiasaannya, asid alfa lipoik ini diperbuat daripada haiwan dan ia sangat penting untk metabolisme aerobik.
9. Buah Monk - Buah monk dikenali juga sebagai Luo Han Guo. Buah monk berasal dari China Selatan dan juga Thailand Utara. Rujuk gambar di bawah.

Menyihatkan Kolon dan Memulihkan Kulit Dengan Kitsui White Berries Tanpa Gula | Sesuai Untuk Mereka Yang Mengamalkan Makanan Tanpa Gula


Kelebihan Serbuk Jus Acai Beri

Acai beri mempunyai nutrisi yang unik kerana ia tinggi dengan lemak tetapi kurang kandungan gula. Hasil kajian dari Venezuela, acai beri mengandungi mineral. Acai juga kaya dengan antioksidan. Selain itu, acai juga boleh mengatasi kesan kerosakkan keradangan dan pengoksidan di otak dan membantu merangsang tindak balas 'pengemasan' otak.

Kelebihan Serbuk Jus Ubi Bit

Kajian mengatakan, ubi bit mengandungi kepekatan nitrat yang tinggi dan mempunyai kesan dalam menurunkan tekanan darah hanya dalam beberapa jam sahaja. Ubi bit juga boleh meningkatkan prestasi atletik. Ramai atlet yang mengambil ubi bit dalam diet mereka. Terdapat dua kajian mengatakan bahawa mengambil 500ml jus ubi bit sehari dalam masa 6 hari boleh melanjutkan masa untuk merasa keletihan semasa bersenam dengan jenis senaman yang berintensi tinggi sebanyak 15% hingga 25%, iaitu boleh meningkatkan 1% hingga 2% dalam prestasi keseluruhan.

Selain itu, ubi bit juga boleh membantu meningkatkan kesihatan penghadaman kerana ubi bit mengandungi sumber serat. Malah, ubi juga boleh membantu dalam penurunan berat badan kerana ubi bit  mempunyai kandungan kalori yang rendah tetapi tinggi kandungan air.



Kelebihan Buah Monk

Buah monk atau dikenali sebagai Lo Han Guo adalah buah yang berasal dari China Selatan. Ia diberi nama buah monk sempena monk yang pertama menanam buah tersebut berdekad yang lalu. kelebihan buah monk dalam kesihatan lebih dikenali sebagai ubat ubatan tradisional Cina sejak berpuluh puluh tahun yang lalu. Akhirnya, kelebihan dan khasiat buah monk kini semakin diketahui. Manisan buah monk diperbuat melalui ekstrak buah monk yang dikeringkan.

Kemanisan ekstrak tersebut adalah 150 hingga 250 kali ganda manis daripada gula biasa. Sebab tulah produk KITSUI ni manis walaupun tak ada kandungan gula. Walau bagaimanapun, mengapa manisan buah monk begitu dikagumi adalah kerana, walaupun ia begitu manis tetapi ia didapati mempunyai KOSONG kalori dan karbohidrat. Ia juga tidak meningkatkan tahap glukosa dalam darah. Untuk pengetahun bersama, pemanis dari buah monk tidak ada kesan sampingan seperti gas, kembung perut atau reaksi alahan.

Ciri ciri antimikrob yang ada dalam buah ini membantu mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus yang menjaga sistem ketahanan badan. Apabila bakteria dalam usus seimbang, maka usus kita akan sihat dan membantu menyelesaikan masalah penghadaman.

Di samping itu juga, antioksidan dari buah ini boleh melawan radikal berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit. Buah ini juga menghalang dari kerosakan DNA dan meningkatkan imun tubuh badan.

Buah ini juga berfungsi dalam melindungi masalah hati (bukan masalah hati emo emo tu pula korang... Hhahahaha). Ni organ hati maksudnya. Buah ini mengandungi satu nutrisi di mana ia boleh memecahkan kolestrol dan mengelakkan kerosakan oksidatif. Ia boleh mengaktifkan semula enzim antioksidan hati seperti superoxide dismutase dan glutathione peroxidase di mana ia memainkan peranan dalam detoksifikasi.

Hhaaah! Begitulah kelebihan dan khasiat produk ni korang. Macam mana? Mesti korang pun suka dengan fakta buah monk yang menjadi kandungan dalam produk ni kan? Cara pengambilan produk ni, 1 hari 1 sachet. Sebelum sarapan atau sebelum tidur di mana perut kita masih kosong. Selepas minum produk ni, jangan lupa minum air secukupnya untuk kesan yang terbaik. Kalau tak ambil mana mana produk pun, kita wajib tau minum air secukupnya. Tehee! Cara nak membancuh Kitsui ni ada dalam video kat atas, kalau nak tengok secara visual. Caranya, campurkan 1 sachet ke dalam air suam sebanyak 100ml sahaja. Goncangkan dan boleh diminum terus. Nak sejuk, boleh juga. Letak kan ais seketul dua kat dalam air tersebut. Vvaaah! Giteww...

Seperti yang saya ceritakan tadi, produk ni boleh didapati di Watsons yang berdekatan dengan tempat tinggal korang atau....korang boleh juga mendapatkannya secara atas talian.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk :Sila layari website www.kitsui.com.my/noaddedsugar


Terima kasih kerana singgah ke blog ini dan membaca.
Semoga bermanfaat dan jumpa lagi, my sugarpeeps!



With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinah696, @jejakmoment, @sopheestudio, @sopheericher, @sillywonk, @sopheesurrealism

Share:

Rabu, 4 Disember 2019

5 Teknik Sederhana Untuk Menghasilkan Untung Dari Perdagangan | Bagaimanakah Menghasilkan Untung Dalam Forex

5 Teknik Sederhana Untuk Menghasilkan Untung Dari Perdagangan | Bagaimanakah Menghasilkan Untung Dalam Forex

Assalammualaikum dan Hai My Sugarpeep!,

Kali ini, saya akan mengongsikan kepada pembaca blog saya mengenai Forex atau pertukaran mata wang (bagaimana menghasilkan untung dalam forex) di mana saya jarang jarang sekali mengongsikannya di dalam blog peribadi saya. Mungkin beberapa pembaca blog saya mengetahui bahawa saya pernah berkecimpung dalam bidang forex trading. saya aktif sekitar tahun 2012 sehingga tahun 2016. Selepas itu, pada tahun 2017 hingga 2018, saya sudah mula sibuk dengan aktiviti yang lain. Pada tahun 2019, saya sudah menjadi penulis blog sepenuh masa dan mengambil peluang untuk menjadi penulis bebas. OK! Kita teruskan kepada topik utama, iaitu : 5 teknik sederhana untuk menghasilkan untung dari perdagangan.



Kebanyakan orang ingin belajar bagaimana cara untuk menjadi trader yang berjaya namun persiapan mereka seringkali belum cukup. Memang dengan trial error kita boleh belajar sambil menimba pengalaman. Sememangnya sangat banyak akaun jenis demo yang boleh kita cuba untuk membuat trial error tersebut. Namun, terdapat 5 teknik fundamental yang boleh kita pelajari untuk meraih kejayaan dalam pelbagai jumlah modal trading yang kita miliki. Sudah pasti tidak semua orang mempunyai modal yang besar dan ia bergantung dengan jumlah modal yang sanggup rugi.

Semua langkah teknik ini sangat penting diikuti apatah lagi jika kita boleh menerapkan kesemua teknik tersebut sekaligus kerana ia akan menghasilkan kesan yang efektif. Dengan itu, kita boleh memperolehi potensi keuntungan dan kestabilan apabila kita berdagang di pasaran mata wang.  Jangan lupa kongsikan artikel 5 teknik ini ke sosial media korang seperti facebook, instagram dan whatsapp. OK!

5 Teknik Sederhana Untuk Menghasilkan Untung Dari Perdagangan | Bagaimana menghasilkan untung dalam perdagangan forex
Sumber gambar : Google

Teknik 1: Persiapan Strategi Yang Mantap


Kita boleh memulakan dengan mencatat trading plan di atas kertas atau sediakan buku catatan khas untuk membuat sebarang rancangan transaksi. Ini biasanya dipanggil sebagai trading journal atau log bagi pedagang profesional. Di dalam catatan tersebut, kita boleh menulis pengiraan peratus untuk setiap transaksi dari modal. Kita perlu mengetahui berapa peratus margin kerugian ataupun ia bermaksud peratus kesanggupan rugi. Selain itu, kita juga perlu mencatat pengurusan wang kita. Menulis setiap perjalanan dan perancangan perdagangan ini sangat penting walaupun ia selalu dihindar oleh kebanyakan pedagang mata wang. Malah ramai yang lebih suka membuat trial error tanpa mencatat.

Selain itu, kita juga boleh menggunakan pelbagai teknologi dalam membuat percubaan konsep trading yang sedang kita gunakan atau pelajari sebelum menerapkannya di akaun yang sebenar. Kebiasaannya, pedagang veteran atau mereka yang sudah berpengalaman akan menasihatkan kepada pedagang baru untuk membuat percubaan terlebih dahulu berbanding terus terjun ke akaun sebenar. Hal ini kerana kita perlu memahami asas dan selok belok pasaran mata wang tersebut terlebih dahulu.




Pedagang veteran juga biasanya mengaplikasikan data sejarah untuk dijadikan analisis untuk menentukan konsep atau cara pedagang baru boleh digunakan ataupun tidak di pasaran mata wang. Setelah mendapatkan cara atau konsep trading yang tepat dan sesuai dengan modal kita, barulah kita gunakan konsep itu di akaun sebenar (Real Account).

Walaupun begitu, pedagang baru tidak digalakkan mengambil keputusan yang bersifat menurut gerak hati (tekaan/bukan menganalisa pasaran). Hal ini kerana, walaupun mungkin cara ini menghasilkan keuntungan pada awalnya. Ia adalah sangat buruk di kemudian hari atau dalam jangka masa panjang.

Teknik 2: Menganggap Trading Adalah Perniagaan


Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam dunia trading, teknik nombor dua ini sangat penting untuk kita sentiasa ingat. Kita perlu melihat dan menganggap trading adalah sama seperti kita berniaga. Ia bukanlah sejenis hobi atau pekerjaan santai. Trading adalah sebuah perniagaan yang perlukan komitmen. Dalam berdagang mata wang, ia sama seperti perniagaan yang perlukan komitmen untuk ia berkembang dan berinovasi. Malah, trading perlukan semangat sentiasa belajar kerana dalam dunia perdagangan akan sentiasa ada sesuatu hal yang baru untuk dipelajari dan difahami.

Kita juga tidak boleh mengganggap trading sama seperti kita makan gaji. Hal ini kerana jika kita melihat trading sebagai pekerjaan makan gaji, kita akan sentiasa dihantui dengan perasaan kecewa dan putus asa kerana dalam berdagang mata wang, ia tidak sama seperti makan gaji di mana kita boleh memperolehi gaji pada setiap hujung bulan.

Apabila kita melihat trading sebagai perniagaan, kita automatik akan memahami konsepnya di mana perdagangan bersifat perniagaan sudah pastilah memerlukan modal dan sudah pasti akan ada ruginya di mana mana point. Malah, kita akan mengalami situasi ketidakpastian, stress dan berhadapan dengan risiko. Sebagai seorang pedagang mata wang, kita adalah pemilik perniagaan dan terus berpandangan jauh untuk berkembang dan wajib menyusun strategi agar mendapat keuntungan sebanyak yang mungkin.

Teknik 3: Sentiasa Mengosongkan Diri Dan Terus Belajar


Anggap setiap transaksi yang kamu lakukan selayaknya belajar. Trader harus terus fokus untuk mengembangkan diri mereka setiap hari. Saat banyak konsep membutuhkan ilmu pengetahuan yang banyak, sangat penting untuk ingat bahwa mempelajari pasar dan semua teknik yang ada, butuh waktu dan komitmen yang panjang.

Yang ingin menjadi pedagang mata wang sudah pastilah mereka yang berasal dari pelbagai latar belakang. Ada yang guru, doktor, supervisor dan sebagainya. Sudah pastilah mempunyai cara berfikir dan sikap yang berbeza beza. Untuk menjadi seorang pedagang yang berjaya, kita wajib mengosongkan diri di mana kita perlu menjadi seorang yang sentiasa mahu belajar. Kita perlu mengganggap setiap transaksi yang kita lakukan adalah sebahagian dari pembelajaran.



Setiap pedagang perlu fokus dalam memperkembangkan kualiti diri dalam dunia trading pada setiap hari. Konsep belajar ilmu pengetahun itu adalah sangat luas dan perlukan masa yang banyak. Kita perlukan komitmen dalam tempoh masa yang sangat panjang. Wajib untuk kita menjadi seorang yang bersabar dan terus belajar.

Kita boleh belajar banyak fakta dan analisis dari laporan ekonomi yang ada. Fokus dan perhatikan pasaran untuk melihat pola pergerakan harga yang mempunyai kaitan dengan berita berita ekonomi, politik, bencana dan sebagainya. Lama kelamaan kita akan menjadi seorang yang pakar dalam bidang tersebut. Kita wajib belajar hingga ke dasar jika mahu menjadi seorang yang pakar dalam trading mata wang.

Teknik 4: Pengurusan Risiko


Teknik 4 : Pengurusan risiko akan membawa kita ke arah memperolehi keuntungan dalam jangka masa panjang. Dalam perjalanan memperolehi keuntungan yang besar tersebut sudah pastilah akan mengalami beberapa kali kerugian. Oleh hal yang demikian, kita perlu bersiap sedia dari segi mental dalam menghadapi kehabisan modal.



Dalam pengurusan risiko ini termasuklah kita perlu membuat persiapan modal yang memang diperuntukkan untuk perniagaan yang mungkin akan mengalami risiko kerugian. Jangan sesekali menggunakan wang keperluan untuk hal hal yang lain. Contohnya, duit simpanan untuk bayaran hutang kereta atau bil rumah. Persiapan wang peruntukkan untuk trading sahaja ini akan membantu kita dari persiapan mental. Di mana kita tidak akan terlalu kecewa jika kita mengalami sebarang kerugian dari perdagangan.

Teknik 5: Selalu Menggunakan Stop Loss


Apabila kita mempunyai sikap mencatat peratus kerugian atau keuntungan yang diperolehi dalam trading journal/log, kita sudah pasti akan mengetahui jumlah risiko tertentu dalam membuat sebarang transaksi. Salah satu cara mengawal risiko rugi yang besar adalah menggunakan stop loss semasa berdagang.

Penggunaan stop loss boleh mengawal emosi dan persiapan mental kerana apabila transaksi kita menyentuh stop loss maka kita sudah pun mengetahui dari awal jumlah kerugian kita jika transaksi itu mengalami kegagalan. Tanpa memasang stop loss semasa berdagang adalah satu sikap yang tidak digalakkan walaupun posisi kita sedang untung kerana kita sendiri tidak mengetahui sehingga waktu bila harga akan menyebelahi kita. Dengan menerapkan dan mengamalkan 5 teknik mudah ini, In Shaa Allah kita akan selalu dapat membataskan kerugian dalam berdagang. Dan berpeluang untuk sentiasa menang dalam perdagangan ; lebih banyak jumlah untung berbanding jumlah rugi.

Vvaaah! Itulah 5 teknik sederhana dan mudah untuk menghasilkan untung dari perdagangan mata wang forex. Jangan lupa kongsikan artikel ini ke sosial media korang seperti facebook, instagram, whatsapp, telegram dan lain lain. Semoga bermanfaat teknik ini kepada semua pedagang terutamanya pedagang yang masih baru.



With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinah696, @jejakmoment, @sopheestudio, @sopheericher, @sillywonk, @sopheesurrealism

Share:

Khamis, 7 November 2019

Apa Itu Metafizik? | Apakah Maksud Metafizik? | Pengenalan Metafizik dan kaitannya dengan Pernomboran (Numerologi)

Apa Itu Metafizik? | Apakah Maksud Metafizik? | Pengenalan Metafizik dan Kaitannya dengan Pernomboran (Numerologi)

Assalammualaikum dan Hi My Sugarpeeps!,

Sebelum saya berkongsi apa itu metafizik, saya nak mengucapkan kepada semua peminat ilmu metafizik yang singgah ke blog saya dan mentelaah blog post saya mengenai ilmu metafizik pernomboran (Rahsia tarikh lahir dan nama). Begitu juga yang menghubungi saya secara terus di Instagram saya, @sofinah696 untuk bertanya beberapa soalan mengenai personaliti berdasarkan tarikh lahir dan nama mereka. Pelbagai soalan juga saya terima dan maaflah tidak semua saya boleh jawab walaupun saya membalas mesej tersebut. Hal ini kerana saya adalah salah seorang peminat ilmu metafizik pernomboran tetapi saya bukanlah pakar dalam bidang ini. Saya juga ingin memberi klarifikasi bahawa saya bukanlah penasihat dalam bidang ini tetapi saya lebih kepada pengongsi pengetahuan ini di dalam blog personal saya berdasarkan hasil pembacaan saya semata mata.

Apa Itu Metafizik? | Apakah Maksud Metafizik? | Pengenalan Metafizik dan kaitannya dengan Pernomboran (Numerologi)


Saya suka membaca ilmu metafizik pernomboran kerana saya suka mengetahui tentang hal hal yang berkaitan dengan personaliti individu dan diri sendiri. Oleh itu saya kongsikan di blog ini. Mungkin bermanfaat kepada pembaca dan pengunjung. OK! Tanpa ber basa basi banyak sangat, saya teruskan topik kita pada kali ini, iaitu apakah maksud metafizik dan apa sebenarnya metafizik?

Apa Itu Metafizik dan Apakah Maksudnya?


Metafizik merupakan ilmu yang sangat luas dan abstrak. Ia adalah ilmu di bawah cabang ilmu falsafah di mana ia adalah kajian mengenai sesuatu yang luar biasa, hal semulajadi yang berlaku dalam dunia realiti dan mengkaji sesuatu persoalan asas pada zaman kuno. Ia adalah satu ilmu yang mengkaji sesuatu untuk dirungkai seperti bagaimana sesuatu itu boleh terjadi, apakah yang menjadikan sesuatu? atau mengkaji sesuatu hal yang tidak boleh berubah. Sebagai contohnya, kajian mengenai apakah hubungan antara minda atau akal dengan tubuh badan atau fizikal.

Dengan erti kata lain, bidang ini membincangkan hal hal mengenai menjawab segala persoalan yang muncul pada zamannya. Termasuklah tentang ruang dan waktu. Uhrmm...atau lebih jelas kalau saya menggunakan ayat "Another Dimension" = Dimensi yang lain. Lapisan lain atau...YyeahhH! Contoh yang boleh difahami adalah ia seperti dalam filem Dr. Strange. Ingat tak guru kepada Dr. Strange yang digelar "Ancient One"? Macam mana dia jelaskan mengenai sesuatu di dimensi lain? Jadi, lebih kurang macam tu la.



Keluasan ilmu metafizik ni merangkumi hal hal ghaib, fenomena yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, sesuatu yang bukan biasa seperti aura, tenaga, frekuensi, gelombang dan banyak lagi. Agak sukar untuk memberikan maksud yang spesifik kerana ilmu ini terlalu luas.

Metafizik juga merupakan cabang utama dalam ilmu falsafah di mana ilmu ini sudah sekian lama dikaji oleh ramai tokoh falsafah dari sebelum masihi lagi. Pada zaman purba atau zaman kuno, Antara persoalan persoalan yang dikaji oleh tokoh falsafah pada zaman tersebut adalah;

  1. Adakah tuhan itu wujud?
  2. Apa itu kebenaran?
  3. Apa itu seseorang individu? Apa yang membuatkan individu itu tetap sama sepanjang masa?
  4. Adakah manusia mempunyai akal? Jika ada, apakah hubungan akal dengan tubuh badan?
  5. Adakah manusia mempunyai kemahuan (free will) - kebolehan untuk membuat keputusan untuk melakukan sesuatu sendiri tanpa dipengaruhi oleh hal hal luar ( Tiada sesiapa mengarahkan untuk melakukannya) atau kebebasan melakukan sesuatu.
Antara tokoh falsafah yang pakar dalam kajian metafizik ini adalah;
  1. Aristotle
  2. Pythagoras
  3. Socratic
  4. Plato
  5. Democritus
  6. ...dan banyak lagi.
...serta, ilmuan Islam yang membahaskan tentang metafizik ini, adalah;
  1. Al-Kindi
  2. Al-Ghazali
  3. Ibn Arabi
  4. Fakhr al-Din al-Razi
  5. Ibn Rushd
  6. ...dan banyak lagi.
Pada pendapat saya, ilmu metafizik ini akan berkembang mengikut aliran zaman dan mengikut kajian kajian yang bakal digali lagi oleh ilmuan terkini dan akan datang. Mungkin cara membahaskannya juga akan sejajar dengan cara mengikut aliran zaman tersebut.

Apakah Maksud Disebalik Perkataan METAFIZIK dan asal usulnya?

Berdasarkan sejarah metafizik, perkataan Metafizik berasal daripada dua patah perkataan dari bahasa Yunani. Ia adalah "META" dan "PHYSICS".  Yang membawa maksud kepada sesuatu atau disebalik sesuatu kejadian = "After or behind or among or the study of the natural".

Terdapat 14 buah buku hasil kerja Aristotle dan perkataan tersebut diperolehi dari hasil kerja tersebut. Kesemua buku tersebut dijadikan satu koleksi buku Aristotle dan di namakan sebagai "Ta meta ta phusika" dan kini dikenali sebagai "ARISTOTLE'S METAPHYSICS".

Apakah kaitan Metafizik dan Pernomboran (Numerologi)?

Pernomboran (Numerologi) adalah kajian dan analisis mengenai nombor yang berkaitan dengan idea, peristiwa dan sesuatu mengenai kiraan metamatik yang dikaitkan dengan sesuatu kejadian alam. Di mana dipercayai bahawa setiap kejadian alam ada kaitan dengan nombor. Pernomboran (Numerologi) ini juga dikenali sebagai ilmu analisis dan pengiraan mengenai personaliti seseorang individu berdasarkan tarikh lahir, dan nama. Setiap nama seseorang itu mempunyai nilai nombor dan mempunyai maksud.

Apa Itu Metafizik? | Apakah Maksud Metafizik? | Pengenalan Metafizik dan kaitannya dengan Pernomboran (Numerologi)


Pythagoras dan ahli falsafah yang lain percaya bahawa  konsep matematik adalah sesuatu yang pratikal dan sangat mudah untuk menjelaskan sesuatu kejadian menggunakan nombor dan kiraan atau corak dan pola pernomboran. Pada pendapat Pythagoras, dia percaya bahawa semua hal ada hubung kait dengan angka dan terserah kepada minda dan pemikiran untuk mencari dan menyelidik rahsia disebaliknya.

Mungkin, disebabkan kajian pernomboran ini adalah dikaji oleh ahli falsafah yang mengkaji ilmu metafizik, maka ia sering dikaitkan dengan metafizik.

Kajian mengenai corak dan pola nombor ini lebih sering (kerap) dikaitkan dengan bidang astrologi (Seperti tilikan masa depan, mistik atau paranormal). Hal ini kerana konsep numerologi ini telah ditolak pada zamannya (Tidak diiktiraf) kerana dipercayai bersifat paranormal dan sihir, sama seperti astrologi yang tidak jelas adakah ia benar dibawah cabang metafizik?

Pada pendapat saya sendiri, terjadinya penolakkan mengenai kiraan matematik (analisis pernomboran) yang dikaitkan dengan alam ini kerana maksud disebalik nombor itu bersifat tidak wujud atau tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sama dengan sifat alam ghaib dan ilmu sihir. Atau mungkin, walaupun nombor adalah sesuatu yang logik tetapi jika dikaitkan dengan kejadian alam, tenaga dan aura atau dimensi yang lain, ia tidak dapat diterima akal pada zaman tersebut. Bukan sahaja pada zaman tersebut tetapi juga pada hari ini.

Walaupun tidak disahihkan dan tidak ditulis secara spesifik bahawa numerologi adalah dibawah cabang ilmu metafizik tetapi numerologi tetap dilihat sebagai sebahagian dari ilmu metafizik atas sifatnya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Memang ramai masyarakat yang skeptik dengan numerologi kerana dikhuatiri ia adalah sesuatu yang tahyul. Tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa kajian yang dibuktikan benar yang kelihatan berkaitan dengan numerologi. Contohnya, eksperimen oleh al-kimia Arab, Jabir Ibn Hayyan. Begitu juga dengan karya oleh Sir Thomas Browne's pada tahun 1658. Selain itu, ada juga sebahagian ulama' yang menggunakan ilmu pernomboran ini untuk ikhtiar rawatan.


Hal ini mungkin juga dikuatiri akan berlaku kekufuran dan ia mungkin boleh memudaratkan kepada mereka yang tersalahfaham mengenai ilmu pernomboran ini di mana mereka percaya asbab kesembuhan atau kejayaan itu adalah dari nombor tersebut bukan dari Tuhan sedangkan ilmu pernomboran itu adalah datangnya dari Tuhan. Kesembuhan, kejayaan dan punca rezeki itu datangnya dari Tuhan.

Pada zaman moden, numerologi mempunyai pelbagai pendekatan dari segi pengenalannya. Ia telah berkembang mengikut zaman oleh mereka yang mengkajinya. Agak sukar untuk mengelar mereka yang mengkaji atau mengamalkan numerologi sebagai ahli numerologi kerana perkataan "ahli numerologi" tidak ada dicatatkan pada atau sebelum abad ke 1907. Walau bagaimanapun, istilah "ahli numerologi" boleh digunakan untuk mereka yang meletakkan kepercayaan mereka kepada corak dan pola pernomboran walaupun mereka tidaklah mengamalkan konsep numerologi tradisional.

Sebagai contohnya, di dalam buku yang berjudul "Numerology : Or What Pythagoras Wrought" pada tahun 1997, ditulis oleh Underwood Dudley telah menggunakan istilah "Ahli Numerologi" kepada mereka yang mempraktikkan Prinsip Gelombang Elliott dalam pasaran saham bagi menganalisis corak harga dalam saham. 

Pada pendapat peribadi saya, menggunakan teknik analisis teknikal berdasarkan Prinsip Gelombang Elliott dalam pasaran pertukaran mata wang juga boleh dikatakan kebanyakkannya tepat dan boleh membuat keuntungan. Tetapi, dengan syarat, penggunanya perlulah sabar kerana ia memerlukan kesanggupan dalam menunggu waktu yang tepat untuk membuka sebarang transaksi membeli atau menjual. Ia kembali kepada psikologi pedagang itu sendiri.

Begitulah sedikit sebanyak penjelasan mengenai Metafizik dan Pernomboran (Numerologi) yang saya boleh kongsikan di sini. Jadi, selepas membaca pengenalan ini, apakah pendapat korang? Apa yang korang fikirkan? Jangan segan dan kongsikan komen dan pendapat korang di ruangan komen di bawah, OK!

Terima kasih sebab membaca and supporting me, Sugarpeeps!

Semoga Bermanfaat.


With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinah696, @jejakmoment, @sopheestudio, @sopheericher, @sillywonk, @sopheesurrealism

Follow my blog with Bloglovin 💋

Rujukan : Wikipedia, Unikversiti, Serenamaklong, Britannica, Plato.Stanford.Edu, Ilmu Falsafah, Muftiwp.
Share: