SELAMAT DATANG KE BLOG SOFINAHLAMUDIN.COM

Sila gunakan
untuk memudahkan pencarian topik dan pembacaan di dalam blog ini.


Isnin, 7 Mac 2022

Apa itu PSIKOPAT (Psychopath) ?

Apa itu PSIKOPAT (Psychopath)?

Assalammualaikum dan Hai My Sugarpeeps!

Semakin banyak perkataan-perkataan PSYCHOPATH berkumandang di dalam lagu. Malah lagunya viral, trending, dan terkenal di laman-laman sosial pada hari ini. Ramai juga yang saya dengar menggunakan perkataan-perkataan seperti ini sebagai gurauan. Jangan gunakan berlebihan sangat sebagai gurauan. Ada masanya kena berpada-pada.



Apa itu Psikopat?

Psikopat merupakan nama kepada individu yang mempunyai kondisi mental yang tidak stabil atau mempunyai kecelaruan personaliti. Psikopat adalah individu yang mengalami kecelaruan personaliti antisosial ditahap yang sangat teruk.

Psikopat adalah perkataan untuk merujuk kepada individu yang digambarkan tidak berperasaan, tidak beremosi, dan rosak akhlaknya. Walau bagaimanapun perkataan P S I K O P A T ini bukanlah perkataan rasmi. Psikopat bukan sejenis perkataan diagnosis kesihatan mental rasmi. Tetapi, perkataan ini tetap digunakan dalam klinikal dan juga undang-undang.



Individu Psikopat sering menunjukkan kekurangan upaya untuk mencintai atau mewujudkan hubungan peribadi yang bermakna. Mereka juga mempunyai tahap ego yang sangat tinggi dan melampau.

Gejala atau ciri-ciri Psikopat biasanya bertindih dan sama dengan individu yang mengalami kecelaruan personaliti antisosial (ASPD = Antisocial Personality Disorder). Antisosial adalah kecelaruan mental yang secara konsisten tidak menghiraukan perbuatannya betul atau salah (sering melanggar peraturan tanpa berasa bersalah) serta suka mengabaikan hak dan perasaan orang lain.


13 Ciri-Ciri Psikopat Yang Biasa Kelihatan

  1. Tidak mempunyai emosi dan perasaan
  2. Bersikap antisosial
  3. Kelihatan menawan dan berkarisma (Superficial Charm and Charisma)
  4. Kurang rasa bersalah
  5. Kurang rasa empati
  6. Pathology Lying
  7. Manipulasi orang lain
  8. Tidak menghiraukan perasaan dan hak orang lain
  9. Tidak tahu membezakan perkara yang betul dan yang salah
  10. Mudah berasa bosan
  11. Narsistik
  12. Impulsif
  13. Tidak bermoral dan tidak tahu beradab


Apakah Ciri-Ciri Psikopat Yang Lebih Terperinci?

Kebanyakkan Psikopat sukar untuk kita kesan dan kenali kerana mereka biasanya seorang "Phatological Liars" dan sangat pakai dalam manipulasi atau putar belit cerita. Sifat dan perwatakan mereka akan nampak lebih jelas apabila kita kerap berhubung dengan mereka. Akan ketara beberapa tanda dan gejala yang boleh kita lihat. Antaranya :


Bersikap Antisosial

Apa itu Antisosial? Ramai rakyat Malaysia yang sering salah dengan perkataan Antisosial ini. Ramai yang tersalah anggap bahawa antisosial adalah orang yang tidak suka bergaul dan tidak suka bercampur dengan orang ramai. Individu yang tidak suka bergaul dengan orang ramai bukanlah antisosial. Mereka adalah golongan Introvert ataupun asosial. Bukan antisosial. Antisosial membawa maksud yang lain.

Antisosial adalah perkataan yang digunakan untuk individu yang mempunyai ketidakstabilan mental atau mempunyai kondisi kecelaruan personaliti. Gangguan mental ini dipanggil kecelaruan personaliti antisosial atau dalam bahasa Inggerisnya adalah Antisocial Personality Disorder.

Antisosial ni bermaksud seseorang individu yang mempunyai sifat kurang menghormati orang lain. Mereka sering tidak menerima peraturan, undang-undang, etika, adab, dan seumpama dengannya. Mereka tidak suka semua ni, mereka akan melanggar peraturan-peraturan ini.

Individu antisosial juga sering  atau mudah mencederakan orang lain secara fizikal atau secara emosi tanpa rasa bersalah dan tidak akan mengambil tanggungjawab setiap akibat apa pun dari perbuatan mereka. 


Sifatnya mempersonakan dan berkarisma

Biasanya mereka sangat menawan dan berkarisma. Akan lebih ketara jika Psikopat ini adalah seorang wanita. Mereka kelihatan sangat suka bersosial, teruja, dan beremosi. Walaupun mereka tidak mempunyai emosi dan perasaan yang sejati, tetapi mereka biasanya pakar dalam memalsukan tingkahlaku terutamanya memalsukan sanjungan, simpati, dan kebaikan.

Mereka biasanya menggunakan kepakaran / kemahiran memalsukan serta memanipulasi untuk memperolehi apa yang mereka mahukan. Walau bagaimanapun, hal ini jarang berlangsung lama. Kepalsuan ini biasanya boleh dihidu dan topeng mereka terbuka dengan sendirinya. Biasanya mereka akan menjadi dingin, daya tarikan dan karisma mereka menghilang dengan sendirinya.


Bertindak Kejam Atau Melakukan Sesuatu Yang Tidak Perlu

Disaat daya tarikan dan karisma mereka menghilang, mereka akan bertindak kejam. Kejam di sini bukanlah melakukan keganasan secara fizikal. Biasanya mereka akan melakukan sesuatu seperti bergosip, memburuk-burukan orang yang menggagalkan misi mereka, memberikan komen yang menyakitkan hati orang lain, ketawa terbahak-bahak dan berhibur disaat mereka rasa sakit hati dengan kegagalan dan sebagainya, serta mereka mudah mencabul hak orang lain.


Selalu Berbohong, Tindakan Keterlaluan, dan Tidak Jujur

Kebanyakkan individu psikopat terdedah dengan masalah pembohongan patologi. Biasanya mereka akan membesar-besarkan kebenaran untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Mungkin ingin orang lain menyokongnya, menjadi sekutunya, atau juga mungkin mahu orang lain melihat dialah yang benar. Mereka juga suka meningkatkan tahap ego mereka. Mereka suka membuatkan orang lain merasa, berfikir, dan melakukan sesuatu untuk mereka. 

Manusia normal biasanya akan merasa bersalah dan risau apabila didapati menipu. Tetapi tidak bagi individu Psikopat. Mereka kekurangan hati nurani dan tetap meneruskan aktiviti menipu tanpa rasa bersalah walau sedikitpun. Mereka boleh hadir dalam keadaan yang memalsukan rasa bersalah, rasa empati, prihatin. dan mengambil berat terhadap orang lain.


Tidak Bertanggungjawab Atas Perbuatan Sendiri dan Suka Menyalahkan Orang Lain

Seorang Psikopat boleh melakukan kekejaman, keganasan atau kekejian dalam masyarakat tetapi mereka jarang mengambil tanggungjawab atas setiap perbuatan mereka. Malah, mereka lebih cenderung untuk menyalahkan orang lain, memberikan banyak alasan, dan suka menegakkan benang yang basah dengan cuba mewajarkan tindakan mereka tidak kiralah tindakan mereka itu yang terburuk sekalipun. 

Inilah gejala paling parah bagi individu yang mengalami kecelaruan personaliti seperti ini (Psikopat). Mereka biasanya tidak bermoral, tiada empati, dan tiada hati nurani. Mereka tidak mempunyai perasaan sama ada 'betul' atau 'salah'.


Mereka Perlukan Kuasa, Mengawal dan Dominasi

Psikopat biasanya suka mencari kedudukan dan kuasa kerana mereka sangat menikmati hidup mendominasi, mengawal dan menguasai orang lain. 


Mengabaikan Undang-undang, peraturan, dan Norma

Psikopat biasanya berkelakuan tidak bermoral dan tidak ada adab. Mereka jarang mengikuti kod etika yang sama dengan orang lain dan menyalahi undang-undang. Ini termasuklah perkara-perkara kecil seperti menghantar komen yang tidak sesuai dan kotor. Walaupun tidak semua Psikopat adalah penjenayah ganas tetapi kebanyakkan penjenayah mempunyai sifat Psikopat.


Ringkasan

Psikopat sering menunjukkan tingkah laku yang dingin, manipulasi, narsistik, dan antisosial. Kecenderungan ini berlaku biasanya akibat pengalaman pahit pada awal tumbesaran (pada zaman kanak-kanak) seperti penganiayaan, penolakkan orang sekeliling, kurang kasih sayang ibu bapa, dan sebagainya. Walaupun begitu, hasil kajian tetap masih tidak mengetahui punca sebenar seseorang boleh menjadi seorang Psikopat. Seseorang individu Psikopat boleh mempunyai risiko yang tinggi untuk melakukan jenayah dan keganasan tetapi tidak semua Psikopat melakukan jenayah ganas. Rawatan seperti CBT boleh mengurangkan sifat dan tingkah laku Psikopat.

Sumber : Very Well Mind, Science Direct, Healthline, Choosing Theraphy, and more...

Share:

1 Kata-kata Dari Teman:

Rodiah Amir berkata...

Nice sharing dik. orang suka ikut trend tanpa ilmu. Sedih