Pernah dengar tentang "Hukum Pulangan Bertambah" tak? Belum pernah? Kalau belum pernah, teruskan membaca ye.. Hukum Pulangan Bertambah bermaksud satu proses berulang dalam satu latihan atau aktiviti yang kerap kita lakukan akan memberikan kita satu pulangan atau ganjaran melalui latihan atau aktiviti tersebut. Contoh, kita kerap membuat latihan gimnastik dan akhirnya kita memiliki pulangan atau ganjaran dari segi skill kerana kita rajin berlatih. Hukum Pulangan Bertambah boleh meningkatkan pendapatan dan prestasi diri kita tanpa kita sedari. Hukum Pulangan Bertambah ini memberikan seseorang yang mengamalkannya mendapat kemajuan diri secara automatik.
Peringkat Hukum Pulangan Bertambah
Peringkat Belajar
Jika seseorang yang ingin menjadi usahawan atau ahli perniagaan, tidak akan menjamin sebarang keuntungan mahupun kejayaan dalam perniagaan tersebut jika mereka tidak memulakan peringkat belajar ini. Peringkat belajar ini penting untuk menambah ilmu dan strategi dalam bidang perniagaan. Jika seseorang itu memang mempunyai bakat yang semula jadi dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, maka peringkat belajar ini akan berlangsung dengan mudah dan lancar.
Jika seseorang itu ingin menjadi usahawan tetapi tidak mempunyai bakat semulajadi dalam dirinya, maka proses belajarnya mungkin akan lebih lama berbanding yang sudah mempunyai bakat semulajadi. Tetapi, peringkat belajar ini tidak boleh dilepasi oleh mana mana individu sekalipun. Meskipun mereka mempunyai bakat semulajadi kerana setiap individu akan mengalami kesilapan dan mesti membuat eksperimen dengan apa yang dipelajarinya.
Ada yang berpendapat bahawa "Minat boleh dipupuk". Minat sememangnya boleh dipupuk jika tanpa paksaan. Tanpa kemahuan, minat tidak akan berputik walaupun membuat seberapa banyakpun latihan dan belajar dalam peringkat ini.Kerana tanpa kemahuan, minat tiada gunanya. Jika seseorang individu itu memang minat untuk menjadi seseorang atau minat dalam bidang tertentu, seperti pelukis, doktor, pakar IT... peringkat belajar ini bukanlah satu peringkat yang menyusahkan dalam hidup mereka kerana mereka sangat meminatinya.
Kesimpulannya, minat dan kemahuan itu penting dalam sesuatu proses pembelajaran.
Peringkat Mengasah Bakat
Peringkat mengasah bakat merupakan peringat dimana seseorang individu sudah banyak menimba ilmu dalam bidang tertentu. Sudah tiba masanya, mereka mengasah bakat mereka dengan cabaran cabaran tertentu seperti mengikuti pertandingan dan sebagainya. Dalam peringkat ini, persaingan sangat penting untuk menambahbaik skill bekerja dan melakukan sesuatu. Walau bagaimanapun, persaingan yang dimaksudkan ini adalah persaingan yang sihat dan bersaing dengan diri sendiri.
Adakah diri yang sekarang lebih baik dari diri yang sebelumnya. Jika belum, teruskan usaha untuk meningkatkan prestasi dalam bidang tersebut. Pertandingan bukanlah sesuatu di mana kita perlu memenanginya tetapi ia adalah pengukur sejauh mana kebolehan kita. Jika kita menang, itu bermakna cara kita bekerja atau melakukan sesuatu sudah semakin baik berbanding sebelumnya. Namun, ukurannya mestilah bertanding dengan mereka yang sama level dengan kita. Sebagai contoh, orang dewasa bertanding dengan kanak kanak sudah pasti orang dewasa akan memenanginya. Itu bermaksud belum tentu kemenangan kita adalah berdasarkan kebolehan kita tetapi hanya kebetulan.
Peringkat Menambah Kualiti
Selepas mengasah bakat, peringat menambah kualiti adalah peringkat paling penting sekali. Setelah kita berada di dalam peringkat belajar dan mengasah bakat, kita sepatutnya sudah pun faham dan tahu selok belok pekerjaan kita atau teknik atau asam garam bidang kita. Jadi, kita mampu menghasilkan atau melakukan sesuatu pekerjaan lebih pantas berbanding semasa kita dalam peringkat belajar. Contohnya, seorang penulis blog berkenaan fesyen sudah faham dan banyak pengetahuan serta pengalaman dalam bidang fesyen maka, dia mampu menulis topik berkenaan fesyen hanya dalam masa singkat kerana di dalam kepala mereka sudah penuh dengan ilmu fesyen.
Mereka menulis tanpa membuat sebarang rujukan lagi. Mereka merujuk hanya jika mereka perlu sahaja. Oleh itu, peringkat ini tiba masanya kita untuk menambah baik kualiti hasil pekerjaan kita pula. Apabila kita sudah menjadi seorang yang pantas dalam bidang yang kita ceburi, contohnya dalam bidang lukisan. Kita mampu melukis wajah orang dalam masa 10 minit sahaja. Jadi, tambahkan 10 minit lagi untuk menambah kualiti lukisan itu.
Agar lebih bernilai dengan harga yang dikenakan. Jika lukisan itu sekadar pantas dilukis, ia tetap tidak akan memberi apa apa pulangan atau keuntungan yang banyak kepada pelukis kerana kualiti nya tetap sama dengan pelukis lain. Jika pelukis mampu melukis dengan pantas dan lebih berkualiti dengan harga yang berbaloi, sejauh mana pun pelukis itu berada, pelanggannya akan sanggup mencarinya demi mendapatkan lukisan yang bernilai dan berkualiti.
Lebih banyak lukisan yang boleh dihasilkan, lebih banyak keuntungan dan keuntungan akan lebih berganda jika lukisan yang banyak tersebut sangat berkualiti nilainya.
Peringkat Pakar Dan Skill Tersendiri
Peringkat ini adalah peringkat di mana seseorang individu telahpun mencapai tahap professional dalam bidang yang diceburinya. Seperti yang saya berikan contoh tadi, seorang pelukis. Di peringkat ini, pelukis tersebut telah mampu menghasilkan lukisan yang sukar dan payah untuk dihasilkan dalam masa singkat kerana sudah memiliki skill yang tersendiri untuk menyiapkan lukisan dengan pantas walaupun lukisan tersebut agak sukar. Dalam tahap ini, seseorang individu telah menjadi seorang yang advance dalam bidangnya. Dalam peringkat ini, seseorang individu akan semakin menjimatkan masanya dalam melakukan kerjanya kerana mereka sudah pun pakar dalam bidang ini berbanding budak baru. Kalau mungkin , semasa proses belajar, seorang pelukis terpaksa meluangkan masa berhari hari untuk menghasilkan lukisan yang sukar tetapi, pada tahap, pelukis tersebut mampu menghasilkan lukisan yang sukar hanya sehari sahaja.
Bagaimana mengamalkan hukum pulangan bertambah?
1. Tidak menukar bidang
2. Bersabar
3. Tidak Ego
4. Mencuba lagi
5. Berani
6. Tidak Berputus Asa
7. Fokus Dan Konsisten
8. Strategi, Teknik dan Skill
9. Buat Jika Perlu
Tidak menukar bidang dalam tempoh yang terlalu kerap. Atau dalam bahasa lainnya, "Lompat Katak". Jika kita menukar bidang dalam tempoh yang terlalu kerap, kita akan berada di peringkat belajar sepanjang masa. Kita tidak akan pernah mencapai peringkat pakar. Tukar hanya jika kita perlu menukarnya sahaja.
Semasa dalam bidang tertentu, kita tidak akan terlepas dari menghadapi peringkat belajar. Dalam peringkat belajar, kesabaran kita adalah ujian paling pahit.Kita dituntut untuk bersabar dalam peringkat ini. Tanpa kesabaran yang tinggi, kita akan mudah berputus asa lalu bertukar bidang sekali lagi. Dan terpaksa bermula dari bawah semula (peringkat belajar).
Mengapa kita perlu bersabar sepanjang dalam peringkat belajar? Kerana proses belajar biasanya menuntut kita memberikan masa yang lama dan panjang. Kita mengambil masa untuk menganalisis, memahami, mengkaji, membetulkan kesilapan dan sebagainya. Mungkin, jika seseorang individu itu seorang yang kurang cekap dalam bidang tertentu, mereka mungkin memerlukan 1 tahun untuk belajar bidangnya sebelum masuk ke peringkat seterusnya. Tetapi, kesabaran biasanya memberikan sesuatu yang manis pada akhirnya.
Jika berada di dalam peringkat mengasah bakat pula, kita tidak boleh ego dan merasa kita paling hebat. Hal ini akan menjatuhkan prestasi seseorang individu kerana kita tidak menerima kekurangan diri. Jika kita tidak mahu menerima kekurangan diri, bagaimanakah caranya untuk kita membaikinya? Jika mendapat kekalahan, seseorang individu perlu untuk mencuba lagi. Gagal sekali bukanlah bermakna selamanya. Menang kalah itu tidak penting. Yang penting hanyalah sejauh mana kita meninggalkan kekurangan kita dan menambah baik.
Selain itu, semasa proses mengasah bakat, kita perlu berani kan diri untuk menerima kekalahan. Dengan kekalahan, kita akan ketahui bahagian manakah yang perlu kita baiki.
Seperti yang saya sebutkan tadi, kemajuan diri adalah berlangsung secara automatik. Meningkat sendirinya tanpa kita sedari jika kita terus menerus melakukan pekerjaan yang kita lakukan. Oleh itu, kita tidak boleh berputus asa dalam pekerjaan kita, bidang kita, impian kita dan seumpama dengannya. Jika kita berputus asa, kita akan berhenti ditengah jalan dan kita terpaksa mengulang semula peringat pertama iaitu peringkat belajar.
Dalam menjalankan pekerjaan atau latihan kita, kita perlulah fokus dan konsisten. Tanpa fokus dan konsisten, kemungkinan besar menuju ke peringkat pakar dan skill tersendiri akan semakin lambat dan tertangguh tangguh.
Setelah kita berjaya menghadapi peringkat awal, kita akan ke peringkat menambah kualiti. Peringkat menambah kualiti bukan sahaja menambah kualiti hasil pekerjaan atau produk tetapi KUALITI HIDUP. Dalam bekerja, berniaga atau sebagainya, kita tidak boleh terlalu obses dengan kerja dan wang tetapi kita perlukan keseimbangan hidup. Untuk mendapat keseimbangan hidup ini (kerja dan keluarga atau peribadi dan kerjaya), kita perlu mempunyai strategi, skill dan teknik. Strategi, skill dan teknik hanya akan diperolehi secara automatik jika kita sudah berhempas pulas dari peringat belajar hingga peringkat mengasah bakat.
Setelah kita sampai ke peringkat terakhir, kita akan mendapat pelbagai faedah seperti jimat masa. Hal ini kerana, apabila kita sudah mahir dan pakar dalam sesuatu bidang, kita tidak perlu meluangkan terlalu banyak masa untuk melakukan sebarang kerja yang berkaitan. Ketika di peringkat ini, kita buat jika perlu sahaja. Jika kita melakukan sesuatu walaupun ia tidak perlu, kita akan sama sahaja seperti diperingkat pertama (Peringkat belajar). Meluangkan banyak masa tetapi membazir. Hal ini menjadi pembaziran kerana ia tidak perlu dilakukan. Ia tidak sama semasa kita sedang belajar. Semasa belajar, setiap masa yang diluangkan, meskipun lama, ia bukan satu pelaburan tetapi ia adalah pelaburan untuk masa hadapan. Terutamanya untuk mencapai ke peringkat terakhir.
Kelebihan apabila kita sudah berada di peringkat pakar dan skill tersendiri
Apabila kita sudah berada dalam peringkat ini, kita akan melakukan kerja yang banyak dengan menggunakan masa yang sedikit tetapi berkualiti. Oleh hal yang demikian, kita akan memperolehi masa yang banyak untuk hal hal peribadi yang mampu membuatkan hidup kita berkualiti.
Contohnya, jika kita seorang pekerja di mana mana syarikat, kita tidak perlu mengambil overtime kerana kerja kita sudah pun siap tepat pada masanya. Tidak perlu membawa kertas kerja ke rumah kerana tidak sempat untuk menyiapkannya di pejabat. Apabila tiba masa balik dari kerja, kita pun balik dengan aman. Di rumah, kita boleh berehat, meluangkan masa dengan keluarga, boleh makan malam dengan isteri dan anak anak. Apabila waktu sepatutnya bercuti, kita bercuti. Kita juga akan mempunyai masa untuk bersenam dan menjaga kesihatan.
Contoh lainnya, jika kita seorang usahawan yang mengeluarkan produk buatan tangan, kita juga tidak akan meluangkan banyak masa untuk menyiapkan produk yang banyak kerana kita sudah pakar dan mahir dalam bidang tersebut. Jika semasa peringkat belajar mengambil masa 10 hari untuk membuat 5 produk, setelah di peringkat ini kita telah mampu membuat 50 produk dalam masa 10 hari. Keuntungan banyak tetapi jimat masa.
Jika kita seorang penjual makanan, kita akan mampu menghasilkan bungkusan masakan yang banyak tetapi berkualiti. Malah, kita boleh menjualnya dengan harga yang murah kerana kuantitinya sangat banyak. Walaupun murah, kita akan mendapat keuntungan lumayan kerana, pelanggan sukakan produk yang murah tetapi berkualiti.
Disunting dan dihuraikan oleh sofinah lamudin.
Sumber dan rujukan :
Focal Point - Mencari Titik Fokus Kehidupan (Edisi Bahasa Melayu) oleh Brian Tracy.
PTS Professional, Publishing Sdn. Bhd. (678274-D) 2011.
M/S 10, Hukum Pulangan Bertambah.
Penafian : Apa yang saya tuliskan dalam entri ini tiada copy paste dari buku Focal Point. Saya menulis mengikut apa yang saya faham melalui pembacaan saya semata-mata untuk dikongsikan dengan pembaca. Untuk mengetahui mesej asli dari buku ini, atau ingin membaca keseluruhannya, bolehlah mendapatkan buku Focal Point.
With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinahlamudin, @jejakmoment, @labuanblogger, @sopheestudio, @sopheericher .
4 Kata-kata Dari Teman:
perkongsian yang bagus
rasa bermotivasi lepas baca
terima kasih atas entry yang menarik nih
satu ilmu yang amat manarik..
sekarang ini tengah mengasah kepakaran untuk blogwalking..
bunyinya macam lucu tetapi seni blogwalking yang hebat akan meembawa jenama kita di beratus di ruangan blog yang lain dengan cara real person dan bukannya software..
hahahaha merapu rapu pulak komen saya nie bah
Terima kasih singgah baca "Cara Meningkatkan Pendapatan Dan Prestasi Diri Dengan Mengamalkan Hukum Pulangan Bertambah". Alhamdulillah kalau ter-motivasi. Jangan lupa dapatkan buku Focal Point. hehe.
Hahahaha...nda juga la merapu banyak tu bro hanafi. Saya faham juga maksudnya tu bro. Terima kasih baca entri "Cara Meningkatkan Pendapatan Dan Prestasi Diri Dengan Mengamalkan Hukum Pulangan Bertambah".
Catat Ulasan