SELAMAT DATANG KE BLOG SOFINAHLAMUDIN.COM

Sila gunakan
untuk memudahkan pencarian topik dan pembacaan di dalam blog ini.


Selasa, 13 Mac 2018

Rahsia Menggandakan Pendapatan Dengan Formula Lengkung Kecekapan

Assalammualaikum Bloggers dan Readers,

Rahsia menggandakan pendapatan dengan lengkung kecekapan? Mesti korang rasa hairan dan tertanya tanya apakah itu "Lengkung Kecekapan". Penggandaan pendapatan ni ada kena mengena dengan entri sebelum ini yang berjudul "Cara Meningkatkan Pendapatan Dan Prestasi Diri Dengan Mengamalkan Hukum Pulangan Bertambah". Tetapi, kali ini saya ingin mengupas lebih lanjut kaitan "Hukum Pulangan Bertambah" dengan "Lengkung Kecekapan" yang Brian Tracy ada sebutkan dalam bukunya. Rahsia menggandakan pendapatan ini telah didedahkan oleh beliau melalui penulisan dan ceramah beliau untuk membuka potensi kita sepenuhnya.

Rahsia Menggandakan Pendapatan Dengan  Formula Lengkung Kecekapan

Lengkung Kecekapan

Apa itu lengkung kecekapan? Lengkung kecekapan ini merupakan satu formula yang berkaitan dengan usaha dan masa. Pernahkah korang mendengar ayat seperti ini,

Banyak masa tak banyak duit
Banyak duit tak banyak masa
Kalau nak duit, kena banyak bekerja
Kalau nak banyak berehat, tak ada duit

Atau, korang juga mungkin pernah mendengar ayat ni, "Berani malas jangan takut susah". Adakah korang percaya dengan mengamalkan formula lengkung kecekapan ni, korang boleh bermalas malas tetapi hidup senang lenang? Banyak masa berehat dan bercuti tetapi duit tetap banyak masuk. Maksudnya, banyak masa dan banyak duit. Pendapatan semakin berganda walaupun sedang seronok bermain dengan anak anak kat taman. Pendapatan berganda walaupun tak mengambil kerja lebih.

Penulisan saya ni bukan sejenis scam atau mencuba menawarkan korang untuk menyertai sebarang perniagaan. Tetapi penulisan kali ni nak membincangkan apa sebenarnya maksud "Bersusah dahulu, bersenang kemudian" yang sebenar. Malah, bersusah dahulu, bersenang kemudian yang berbaloi di masa hadapan.

Rahsia Menggandakan Pendapatan Dengan  Formula Lengkung Kecekapan

Berdasarkan carta di atas, ia cuba menerangkan bahawa lengkung kecekapan mampu memberikan pendapatan beberapa kali ganda berbanding orang lain yang berada dalam bidang yang sama. Lengkung kecekapan juga memberi jawapan kepada kita mengapa orang kaya bertambah kaya. Malah, wujud syarikat yang mampu menjual produk dengan harga yang murah tetapi kualiti tetap sama dengan produk yang mahal.

Cara menggandakan pendapatan dengan lengkung kecekapan

Jangan salah memilih bidang yang diceburi
Pertama, kita mestilah berfikir sehabis baik bidang apakah yang kita mahu ceburi?. Adakah bidang yang kita mahu ceburi itu merupakan bidang yang kita minati? Hal ini adalah sangat penting untuk kita membuat keputusan yang betul kerana setelah kita menceburi bidang tersebut, ia merupakan kerjaya pilihan kita. Kerjaya ini bakal menjadi sumber pendapatan kita dan ia sangat mempengaruhi kewangan peribadi dan tanggungjawab kita di masa hadapan.

Selain itu, penentuan bidang yang diceburi menjadi sesuatu yang penting kerana jika kita tersalah pilih bidang, kita akan membuang masa. Setiap bidang yang kita ceburi dan pilih akan melalui satu proses belajar. Dalam fasa belajar ini, kita akan menggali sebanyak dan sebaik mungkin ilmu yang berkaitan dengan bidang kita.

Jika kita tersalah pilih, lalu menukar ke bidang lain, maka kita terpaksa belajar semula. Terpaksa pula bermula dari bawah semula. Oleh hal yang demikian, kita tidak digalakkan untuk terlalu sibuk untuk menjadi katak. Lompat sana, lompat sini. Sekejap mahu menjadi peniaga, sekejap lagi mahu menjadi doktor. Kita perlu kekal dan konsisten dalam bidang kita.

Bidang yang dipilih perlulah berdasarkan minat dan kemahuan kita. Jika tidak berminat dan tiada kemahuan, kita akan mengalami kesukaran sepanjang fasa belajar. Hal ini akan menyukarkan kita menuju ke peringkat pakar dan skill tersendiri.

Tidak Berputus Asa, Fokus dan Konsisten

Kedua, selepas kita menceburi dalam sesuatu bidang yang kita sendiri pilih, kita akan menjalani beberapa proses dan peringkat. Peringkat yang saya maksudkan sudah saya bincangkan dalam entri sebelum ini yang berjudul "Cara Meningkatkan Pendapatan Dan Prestasi Diri Dengan Mengamalkan Hukum Pulangan Bertambah". Apabila kita tidak berputus asa, kita akan semakin hampir ke peringkat terakhir di mana kita akan menjadi seorang yang mempunyai banyak masa bersantai tetapi pendapatan berganda.

Setelah kita menjadi seorang yang cekap dalam bidang kita, kita tidak lagi memerlukan banyak masa untuk menghasilkan sesuatu kerana kita sudah mampu melakukannya dengan pantas. Sebagai contohnya, jika semasa di peringkat belajar kita menulis sebuah novel mengambil masa setahun untuk satu novel, tetapi setelah kita menjadi pakar dalam bidang kita, kita sudah cekap, faham dan tahu teknik malah mempunyai skill sendiri dalam menulis novel, dalam setahun kita mampu menghasilkan 5 novel atau mungkin lebih.

Contoh lain, jika kita seorang tukang jahit dan sudah cekap dalam bidang kita ceburi kerana kita sudah lama dalam bidang ini, kita mampu menyiapkan tempahan baju yang banyak dalam seminggu. Semakin pantas kita melakukan sesuatu pekerjaan, semakin sedikit masa yang diperuntukan untuk melakukannya.

Semakin banyak penjimatan masa, semakin banyak perkara lain boleh dilakukan. Dalam seharian, kita mempunyai 24 jam sahaja. Ada individu yang terpaksa meluangkan masa yang banyak untuk melakukan 1 perkara. Malah terpaksa pula melakukannya sehingga ke malam. 12 jam bekerja. Tidak sempat bersenam, tidak sempat menyediakan makanan sihat, tidak sempat bermesra dengan anak dan tidak pula sempat mengemas rumah dan sebagainya. Tidak akan berlaku begini jika kita sudah berada dalam tahap kecekapan yang baik. Kerja akan siap lebih awal. Kita boleh bersenam setelah itu. Kita juga boleh memasak makanan sihat seperti yang diingini. Kita juga sempat untuk bermain dengan anak anak dalam masa 24 jam. Dalam seminggu pula, tidak perlu bekerja tujuh hari seminggu. Hanya perlu 5 hari seminggu sahaja. Atau mungkin boleh 4 hari seminggu sahaja. Jika lengkung kecekapan kita sangat produktif dan mempunyai strategi yang terbaik, kita boleh sahaja bercuti 2 minggu sebulan.

Permudahkan pekerjaan kita

Dalam berusaha keras, tidak bermaksud kita perlu melakukan pekerjaan yang sukar atau pekerjaan yang tidak sanggup dilakukan oleh orang lain. Permudahkan pekerjaan kita bermaksud, jika kita perlu melakukan sesuatu yang bermarkah maksimum 10, mengapa kita perlu melakukan kerja yang bermarkah 100 sedangkan akhirnya kita akan diberikan markah hanya 10. Di sini kita sudah membazir masa dan tenaga kita. Melainkan, kita melakukan kerja bernilai 100 markah dan akhirnya kita mendapat 100 markah. Sebagai satu contoh, zaman saya bersekolah dulu, saya suka akan mata pelajaran Pendidikan Seni. Saya sangat suka melukis.

Dalam melakukan kertas kerja, apa yang saya perhatikan, saya sudah melakukan pembaziran masa. Hal ini kerana, lukisan yang saya lukis mengambil masa 3 jam untuk kelihatan cantik, tetapi rakan sebaya saya melukis hanya 1 jam dan tidak pula terlalu cantik. Akhirnya kami berdua mendapat gred yang sama iaitu gred A. Saya sudah membuang masa 2 jam. Sedangkan saya boleh mendapat gred A dengan hanya meluangkan masa selama 1 jam.

Kerana itulah pengajarannya, kita perlu mempermudahkan pekerjaan kita. Contohnya lainnya, semasa saya bersekolah, perlu membuat portfolio untuk mata pelajaran Geografi, Pendidikan Seni dan beberapa lagi. Dalam membuat portfolio, terdapat penilaian kekemasan dan kreatif. Saya mula membuat portfolio dengan menggunakan pensil warna. Saya juga melukis sendiri tajuk tajuk utama dan tajuk tajuk kecil. Apabila tiba masanya menghantar portfolio kepada guru, saya dapati, rakan saya menggunakan cetakan komputer. Menggunakan komputer sememangnya kemas dan tulisan dan gambar juga boleh diolah menjadi kreatif.

Disebabkan saya menggunakan tangan, saya memulakan kerja ini sejak sebulan lepas. Manakala, rakan saya memulakan kerja seminggu yang lepas. Folio saya tebal. Dan folio rakan saya nipis. Mungkin kerja saya berkualiti dalam bidang seni atau berbakat dalam bidang kreatif tetapi saya sudah membuang masa saya untuk mata pelajaran lain kerana, markah saya dengan rakan saya itu sama.

Disini bermaksud, jika kita tidak mempermudahkan perkara yang senang, kita akan membuang masa. Perkara yang sukar atau unik atau tidak sanggup dilakukan oleh orang lain boleh dilakukan tetapi biar di tempat yang betul barulah ia berbaloi. Sebagai contohnya dalam pertandingan. Di dalam pertandingan, jika kita boleh melakukan perkara susah dalam masa singkat, kita akan berpotensi menang. Sama seperti menjual barangan dengan harga yang murah tetapi kualiti sama seperti barangan mahal. Kita akan memang.

Mengupah orang lain untuk melakukan pekerjaan kita

Mengupah orang lain melakukan pekerjaan kita juga akan membantu mempercepatkan sesuatu kerja siap lebih awal. Sebagai contohnya, penulis blog tidak mungkin akan mampu menulis 10 artikel dalam masa 3 jam kecuali kualiti penulisannya sangat teruk. Oleh itu, dia perlu mengupah 2 orang untuk membantunya menulis 3 artikel setiap seorang atau 10 orang untuk menulis 1 artikel untuk setiap 1 orang. Walau kita boleh menghasilkan lebih banyak penghasilan dengan mengupah orang lain. Yang penting, apa yang kita lakukan akan menghasilkan keuntungan agar kita boleh membayar mereka.

Contoh lain, suri rumah yang mempunyai kerjaya online iaitu sebagai usahawan online, boleh mengupah orang lain untuk melakukan kerja kerja yang mungkin membuatkan kerja yang lebih penting terganggu. Contohnya, mencuci pinggan, mencuci baju dan mengemas rumah. Apabila pekerjaan yang seperti ini dilakukan oleh orang lain, maka, suri rumah boleh melakukan kerja online atau melayan anak.

Kesimpulannya, teknik lengkung kecekapan ini sangat berbaloi untuk kita gunakan yang penting kita tidak mengupah bidang kita. Bekerja dan berusaha sehingga kita sangat pakar dan cekap dalam bidang kita. Usaha yang kurang dan masa yang banyak akan tiba.

Disunting dan dihuraikan oleh sofinah lamudin.
Sumber dan rujukan :
Focal Point - Mencari Titik Fokus Kehidupan (Edisi Bahasa Melayu) oleh Brian Tracy.
PTS Professional, Publishing Sdn. Bhd. (678274-D) 2011.
M/S 11, Lengkung Kecekapan.

Penafian : Apa yang saya tuliskan dalam entri ini tiada copy paste dari buku Focal Point. Saya menulis mengikut apa yang saya faham melalui pembacaan saya semata-mata untuk dikongsikan dengan pembaca. Untuk mengetahui mesej asli dari buku ini, atau ingin membaca keseluruhannya, bolehlah mendapatkan buku Focal Point.

With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinahlamudin, @jejakmoment, @labuanblogger, @sopheestudio, @sopheericher .


Share:

3 Kata-kata Dari Teman:

xplorasi destinasi berkata...

Ini pertama kali baca tentang konsep ni. Menarik juga

Sofinah Lamudin berkata...

Terima kasih singgah blog saya Bamhoq. Dan baca entri "Rahsia Menggandakan Pendapatan Dengan Formula Lengkung Kecekapan".

Sofinah Lamudin berkata...

Hi Raydah. Terima kasih jemput GA. Buat masa ni tak sempat lagi nak join GA.. huhu..