Hadiah Hari Lahir Terawal | Semoga Allah lindungi jiwa saya. Yang ada kalanya, terlupa cahaya di mana.
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM~
Assalammualaikum dan Hai My Sugarpeeps!,
Hampir sebulan tanpa PC, perasaan begitu sugul. Seperti kehilangan pula. Rasa kesunyian pun ada. Harta benda pun boleh buat emosi kita galau kan? Meskipun hidup kita dalam dunia ni hanya sementara. Harta benda tetap menjadi salah satu keinginan yang begitu mempersonakan. Begitulah dunia fana yang masyhur dengan keunggulan cinta sementara tetapi tetap diagungkan dan dipuja-puja manusia (Mulai hari ni saya kembali menaip ada 'dash' ya... selama ni saya malas tekan 'dash' untuk kata berganda. Sejak kebelakangan ni, rindu belajar Bahasa Malaysia masa tingkatan 6... Hhaha).
Macam sekarang ni, saya terbayang komputer Alienware, monitor Razer dan tetikus Logitech G203 Lightsync. Haihh... sebagai manusia yang ada nafsu dan keinginan, sukar untuk elakkan diri dari menyukai harta benda dalam dunia ni. Walaupun kita tahu, tak ada maknanya di akhirat kelak. Orang kata, kejar akhirat, kita akan dapat dunia. Tapi, berkata-kata sememangnya sentiasa senang. Kalau nak buat, kalau nak, beli, kalau suka, ambil. Kalau tak suka, diam. Masalahnya, bekalan untuk dikira di padang masyhar kelak tak ada kaitan dengan suka dengan tidak suka. Tak ada option.
Mana perginya rasa puas? Mana perginya rasa cukup? Mana perginya rasa bersyukur? Memiliki satu PC, satu keyboard, 1 mouse, masih lagi buka laman Shopee untuk mendapatkan papan kekunci baru. Walhal papan kekunci lama elok lagi. Masih boleh tekan. Hhahahaha... Saya manusia. Saya tidak pernah kata kejadian diri saya ni sempurna tanpa cela. Biasanya saya alpa dan lupa. Berkata saya sendirian, "Buat apa banyak-banyak papan kekunci kalau menulis dalam blog ni sekerat jalan. Kejap timbul. Kejap tenggelam. Penulisan pun tak buat duit. Traffic pun ada masa terjunam ke dasar lautan dalam."
Julai lepas, PC saya rosak. Motherboard ibarat jantung. Tanpanya mati. Tiada harapan lagi untuknya membuka mata dan berkata, "Hello Sofie..."
Sedih. Hasil menaip di papan kekunci yang lama suatu masa dahulu. Hanya bernilai RM10 telah berjaya menghasilkan sebuah komputer yang bernama Acer. Mempunyai kad grafik. Mampu bertarung dengan kapasiti berat. Bluestacks, Counter Strike, dan Photoshop. Siapa sangka jangka hidupnya setakat 5 tahun. Sepanjang 5 tahun, ia berjaya berkhidmat dengan caranya tersendiri. Membuat saya gembira dengan kepantasannya. Ketik sekali, zupp! Terbuka tab baru. Ketik! Ketik! Ketik! Terbuka! Terbuka! Terbuka! laju...
Maaf PC Acer. Sepanjang 5 tahun bersama, mungkin ada masa saya terlupa nak jaga awak elok-elok. Saya biarkan awak on lama-lama. Mungkin awak dah overheat. Sepanjang awak berkhidmat untuk saya, saya tak pernah beli sesuatu untuk awak agar awak hidup lebih lama. Dalam banyak-banyak saya berbelanja hasil dari bantuan Acer, saya tidak pernah membalas jasanya dengan memberikan CPU Cooler untuk mengawal haba. Saya terlupa juga menghadiahkan Acer sebuah UPS (Uninterruptible Power Supply) walhal saya tahu, tempat saya selalu blackout. Kesian awak.
Tempoh 5 tahun tu bukanlah lama mana. Sekejap cuma. Ibarat sekelip mata. Macam nyawa. Kalau Allah nak tarik, Dia akan tarik. Tak sedar pun bila. Masa tu baru sedar. Dia dah tak ada depan mata. Rindu kini tanpa penghujung. Masa tu baru terfikir bahawa, kita lupa nak hargai.
Saya minta maaf dan terima kasih untuk segalanya. Selama sebulan ketiadaan Acer, saya banyak mengenang kembali kenangan saya semasa remaja. Saat mengenali komputer dan kerap ke Cyber Cafe. Sejak tahu menggunakan komputer dan internet, saya mulai ketagih. Setiap balik sekolah saya akan ke Cyber Cafe. Di CC, saya ditemani sahabat maya di Yahoo Messenger, Friendster, dan MySpace. Rasanya bahagia. Seolah-olah mereka di depan mata. Ucapan manis yang dihantar sering mengukir senyuman manis di wajah. Duit belanja sekolah dihabiskan di CC berjam-jam. Tidak pernah saya merasa kerugian tidak makan tengahari.
Tamat SPM, saya mendapat laptop pertama saya yang bernama HP. HP adalah saksi sebuah impian menara gading. Malangnya, impian hanya tinggal impian. Rupanya kehadiran HP dalam hidup saya sekadar pertukaran menerima bantahan keluar Pulau. Rasa kecewa dalam jiwa saya terasa berat sehingga HP bukan lagi kebahagiaan. Tetapi penderitaan. Berbaloikah HP dalam genggaman tanpa menara gading? Begitulah rasanya saat itu. Suatu ketika dahulu.
Seperti biasa, ini lah namanya dunia. Tidak pernah kekal dan tetap. Yang patah bertumbuh. Yang hilang berganti. Hujan dan panas bersilih ganti. Saya ikhlaskan hati menjejak kaki ke alam tingkatan 6. Lupakan universiti seketika. Siapa tahu jika...hati ayah berubah suatu hari nanti.
HP berjasa sepanjang saya di tingkatan 6 dan dia menamatkan perkhidmatan setelah saya selesai STPM. kebetulan apakah ini? Motherboard. Masalah Motherboard. Selamat tinggal HP. Selamat tinggal menara gading. Kedua-duanya meninggalkan parut yang pahit tetapi manis. Kedua-duanya ; HP dan STPM.
Ya. Patah bertumbuh, Hilang berganti.
Begitu juga Acer yang mengikut jejak HP. Motherboard pembunuh komputer nombor satu di dunia. Kini digantikan dengan DELL. Dell merupakan hadiah hari lahir advance daripada Mr.Bee tahun 2021. Mr.Bee hadiahkan di Bulan Ogos 2021. Terima kasih sang suami yang berusaha menamatkan kesepian isteri tanpa PC. Sepanjang ketiadaan PC, saya ditemani telefon pintar Realme 7 Pro. Disambungkan ke papan kekunci dan external hardisk. Mujur ada Realme 7 Pro. Sakti sekali. Seperti dia tahu, Acer akan pergi buat selamanya maka dia datang membawa harapan. Realme 7 Pro, bukan sejenis terlefon pintar idaman setiap manusia berjiwa jenama seperti iPhone. Tetapi cukup menceriakan photo dan video Instagram saya dengan warna pelangi. Terima kasih Allah kerana menghantar hal-hal kecil yang membahagiakan ini dalam hidup saya.
Saya tersentuh dengan kehadiran DELL meskipun DELL tidak sehebat ACER. DELL penuh dengan kasih sayang dan titik peluh suami. Disaat dia memerlukan komputer yang lebih baik, dia korbankan kemahuannya dengan menyeru DELL ke Labuan dari Semenanjung Malaysia. Demi saya.
Best Friend paling disyukuri yang Allah berikan sepanjang hidup saya. Best Friend + Husband = Savage Combination! Thanks Allah. |
Alhamdulillah. Saat ini saya menaip menggunakan DELL bermonitor satu tanpa kejayaan kad grafik. Tetapi aneh. Saya bahagia tidak terhingga. Rasa syukur yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi dengan penulisan. Kerana kehilangan dan ketiadaan itu lebih sengsara. Mulai hari ini, tidak kira sekecil zarah kasih manusia. Tidak kisah sekecil apa pun pemberian dan kebaikan insan sekeliling saya, tidak kira betapa kecilnya Pulau Labuan. Saya bersyukur kerana ALLAH masih berikan nikmat.
Semoga Allah lindungi jiwa saya. Yang ada kalanya, terlupa cahaya di mana.
Terima kasih sudi membaca.
Sekadar coretan di masa lapang.
Jumpa lagi di next blogpost.
With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinah696, @sillywonk, @peculiarescapism, @mudahkayadotcom, @howtoanythingmy .
Follow my blog with Bloglovin 💋
2 Kata-kata Dari Teman:
Sama la kita. Laptop Aien baru saja meninggal minggu lepas. :'(
Sedih kan... kalau dah lama guna barang tu...
Catat Ulasan