Happy Level Up 31 | Saya, Burung, dan Sangkar.
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM~
Assalammualaikum dan Hai My Sugarpeeps!,
September. Merupakan bulan yang sering menjadi bulan yang sibuk buat saya. Bukan sibuk dengan kerja-kerja duniawi yang tidak pernah ada tanda-tanda penamatnya. Ya! Kerja-kerja tu akan tamat. Akan ada penghujungnya kelak, bila dah kiamat. Atau saat ajal menjemput.
Tapi saya sibuk dengan ulang tayang setiap wayang yang saya pernah saya lalui setiap kali tibanya bulan September. Terutamanya 16 September. Bukan tentang Malaysia. Saya tahu 16 September merupakan Hari Malaysia. Malangnya, tidak pernah Malaysia menjadi inspirasi kesibukan mental dan emosi saya. Bukan tak sayang Malaysia. Tapi...betapa dalamnya emosi dengan wayang dan drama yang saya pernah harungi. Saya pengarah dan saya juga pelakon. Permainan apakah semua ini?
Wayang...drama...itulah kata-kata manusia yang tidak pernah merasa perasaan orang yang melalui. Yang tidak pernah mencuba untuk berdiri di kaki manusia lain. Tapi, saya tertanya-tanya. Jika mereka mencuba untuk meletak diri mereka di kasut orang lain, adakah mereka mengerti? Belum tentu. Bergantung dengan kasut yang mereka suka. Bukan begitu?
"Kau tak payah nak main wayang sangatlah!"
"Drama Queen lah kau ni"
Wayang dan drama, lakonan...acah-acah...mainan air mata...memang wujud. Itu dipanggil percubaan memanipulasi orang lain dengan emosi dan air mata. Memanipulasi perasaan simpati dan perasaan belas kasihan.
Lantaran itu, point of view manusia tercemar dan mula melihatnya sama. Tiada beza dengan yang tulen mahupun yang palsu.
Tapi... terpulanglah. Ini cerita saya. Cerita awak macam mana?
Sejak saya berumur 17 tahun, saya mulai khuatir apabila September mula nak buka tirai. Itu tandanya usia saya bakal bertambah satu lagi angka. Saya tidak pernah nafikan bahawa saya hidup dalam loop. Stuck di dunia sweet 17. Saya ingin angka 17 ini bertahan sehingga impian-impian indah bisa dicapai. Tidak mengapa jika tiada sesiapapun memberi sokongan. Saya perlukan impian ini menjadi kenyataan. Kejayaan ini sangat penting. Penting di masa hadapan. Tetapi, siapa lah saya. Saya cuma manusia yang suka merancang dan berhajat tetapi Allah Maha Besar yang sentiasa menentukan perjalanan hidup hambanya. Saya tidak ada pilihan jika Allah tak nak bagi.
Oleh itu, setiap kali September tiba, asap mula berkepul-kepul atas kepala saya. Untuk mengelak dari asap yang mula menutup pandangan mata, jasad mulai saya tinggalkan. Memory akan membawa saya menerawang kembali. Di mana bermulanya impian berkapasiti besar yang dimusnahkan. Sweet 17. Tahun 2007. Pulau Labuan ibarat Manja Neverland. Ketika saya membenci Labuan, Labuan saya gelar dengan nama "Labuan Menangis". Labuan penuh dengan monsters. Labuan penuh dengan awan mendung. Hujan tidak pernah berhenti dan pelangi tidak pernah mahu menjelmakan diri.
Labuan merupakan tanah di mana saya dilahirkan dan saya membesar tanpa menyebarkan sedikitpun rasa kasih buatnya. Malah, saya bayangkan Labuan tenggelam dengan air lautan yang mengelilinginya. Kasihan...Labuan merupakan pulau yang terlalu indah untuk dimusnahkan. Dan setiap kali saya membayangkannya saya beristighfar kerana tsunami di Acheh mengajar saya erti kesengsaraan mereka yang mengalami. Saya akui, itu merupakan sisi gelap saya dan saya berjuang setiap hari untuk mengubah pandangan saya terhadap Labuan dari hitam kepada biru dan hijau.
Jika moyang masih hidup. Tamparan maut pasti hinggap di pipi yang sekejap tembam, sekejap surut ini. "Kurang ajar!" katanya. Di saat Labuan dijajah Jepun, mereka berhempas pulas memperjuangkan Pulau Victoria ini. Sedangkan saya, lahir di sini dalam keadaan Labuan yang sudah indah belaka tidak mahu mensyukurinya. Malah, saya membencinya.
Maaf Labuan. Saya ada isu peribadi. Mungkin kisah sejarah Labuan dan kisah kesengsaraan pejuang-pejuang Labuan tidak berjaya membuka hati saya untuk diletakkan benih cinta.
Ada apa dengan usia 17 tahun? Di Malaysia, 17 tahun adalah tahun SPM. Tahun setiap remaja yang berpeluang memilih jalan hidup menentukan arah laluan mereka. Ya... menara gading. Saya berhasrat menamatkan segulung ijazah disaat usia 23 tahun. Saya ingin meraih kejayaan ini dengan pekerjaan atau kerjaya seawal 25 tahun. Dan tahun ini, saya sudah berusia 31 tahun. Tiada satu pun universiti yang saya berjaya jejaki. Saya tidak suka menyertai 'blaming game' walau apa pun situasinya. Tidak mengapa. Saya terima seadaanya. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya juga tidak mungkin menyalahkan diri sendiri. Bukan saya yang bersalah. Saya sudah lakukan yang terbaik.
Kata-kata, "Kenapa awak tak buat yang terbaik di zaman sekolah dulu?" ini, sila masukkan dalam arkib perpustakaan otak awak siap-siap. Ini bukan kata-kata yang sesuai untuk saya. Jika awak tidak suka berkawan dengan saya kerana saya tidak setaraf awak, It's okay. Awak boleh pergi. Saya tidak akan menghalangnya. Awak berhak memilih yang terbaik untuk awak dan saya berhak yang terbaik untuk diri saya.
Di tahun 2021 ini juga saya sudah menamatkan hasrat dan impian menara gading ini. Saya penat. Saya penat dihantui bayangan sendiri. Sudah tiba masanya saya meraikan kejayaan mereka yang berjaya membaling topi graduasi ke langit tanpa saya. Saya sudah tidak mahukannya. Sudah tiba masanya saya lepaskan beban yang saya bawa bertahun-tahun. Ini lah kemenangan bagi saya. Tahniah Sofie. You're Level UP.
It's okay. Ada kalanya, berhenti bukan sejenis kekalahan atau putus harapan. Tetapi, memberi peluang untuk mencipta cerita baru. Versi baru.
Entah bagaimana. Rasanya begitu merdeka dan lega.
Pulau Labuan ibarat sangkar di saat saya sangat suka menulis setiap impian. Saya tulis satu demi satu dan saya tampalkan di dinding sangkar. Dan saya adalah burung di dalam sangkar yang pada mulanya tidak sedar itu merupakan sebuah kurungan. Saya ketawa dan bermain di dalamnya dengan girang.
Di saat sayap membesar dan memberat. Terasa Pulau ini begitu kenit. Saya boleh pusing seluruh Labuan, dari hujung ke hujung dalam masa 24 jam.
Ketika berusia 17 tahun, saya melihat sayap saya sudah mula mencecah lantai sehingga terheret ketika saya berjalan ke seluruh sangkar. Saya juga mulai nampak dengan jelas. Setiap impian yang saya tulis tidak ada satu pun yang saya boleh capai dengan hanya meluangkan masa di dalam sangkar yang semakin lama semakin mengecil.
Setiap hari saya melihat pintu sangkar. Setiap hari saya mengetuk pintu sangkar. Setiap hari saya cuba membuka pintu sangkar. Saya hairan! Kenapa...kenapa sayap yang besar ini tidak boleh digunakan untuk terbang dan keluar melalui pintu itu? Saya hairan! Kenapa kunci sangkar tidak pernah dibuka. Kenapa? Setiap hari saya tertanya-tanya kenapa.
Tidak satu pun soalan "kenapa" yang bertubi-tubi ini dijawab oleh sang empunya kuasa. Di mana kata-katanya tidak boleh dibantah. Perasaan sedih dan kecewa saya tidak pernah valid baginya.
Baginya semua itu adalah drama. Baginya semua impian itu palsu dan merugikan. Baginya pelaburan itu membazir tenaga, wang, dan masa.
"Jangan keluar! Kalau kau keluar kau akan mati..", katanya.
Setiap malam saya menangis sendirian. Tidak mengerti dengan kehidupan. Apa salah impian saya? Allah ada. Percayalah saya boleh jaga diri. Percayalah. Itulah pujukan setiap kali saya menjerit depan pintu sangkar. Cuba meyakinkan.
Suatu hari, pintu sangkar dibuka. Harapan saya berbunga dan bersinar kembali. Saya tersenyum. Saya gembira.
Rupanya...
Pintu sangkar dibuka untuk mencarikkan bulu sayap. Menjadikan sayap hodoh. Sayap dirosakkan! Sayap dicabut! Di situlah bukan sahaja impian saya musnah. Hati dan jiwa saya juga punah. Parutnya masih berdarah hingga hari ini. Kesakitan, kesengsaraan, dan penderitaannya, saya masih rasa setiap hembusan nafas yang Allah masih pinjamkan.
Setiap kali September datang, saya akan melawat sayap saya. Kini digantung sebagai trofi kemenangan dia yang tidak suka saya menyentuh tentang isu kepentingan pendidikan. Walaupun hanya tergantung, bulunya yang dulu ditarik, dicarik, dan dicabut-cabut...tumbuh dengan tenang setiap kali saya datang melawatnya. Saya melawatnya setiap hari sepanjang bulan September. 16 September 2021, sayap telah penuh dengan bulu yang cantik dan baru. Jauh beza dengan bulu nya yang dulu. Sangat indah...dipenuhi bunga dan daun-daun yang subur. Dikelilingi rama-rama dan bercahaya.
Terhias indah di dinding. Itulah yang saya anggap sebagai gambar tamat pengajian saya. Jika trofi ini yang dianggap oleh nya suatu kebanggaan saat membina benteng kebebasan memilih jalan hidup saya, terimalah. Ini sahaja yang saya ada untuk dibanggakan dan tiada kata-kata maaf kerana hari ini saya tidak mempunyai sebarang keindahan ekstra dan bonus untuk membantu meningkatkan status dan taraf hidup. Inilah kepompong yang sengaja dijadikan sebagai tempat memaparkan 'kejayaan' yang sebenarnya tidak pernah wujud bagi saya.
Terima kasih kepada insan-insan yang pernah ada menyokong saya suatu ketika dahulu. Yang berani menentang dan berjuang untuk impian saya. Terima kasih banyak...kita tidak pernah gagal dalam perjuangan kita. Kita hanya gagal jika kita tidak mahu berjuang.
In Shaa Allah pilihan saya untuk menuruti kata-katanya merupakan pilihan yang tepat. Tiada gunanya menderhaka jika saya berjaya pun Allah tak suka kerana kelahiran saya ke dunia ini tiada butang pilihan latar belakang dan DNA kegemaran. Ini lah saya dan inilah pengembaraan saya.
In Shaa Allah, kita jumpa di menara gading di akhirat kelak. Jika Allah izinkan, jangan lupakan saya di sana.
Happy Level Up 31, Sofie. You're the strongest 17yo prefect girl ever!!
Terima kasih membaca kisah saya, burung, dan sangkar. Kisah ini tidak akan berakhir di sini. Saya akan kongsikan lagi di lain hari. In Shaa Allah. Sudah tiada gunanya lagi untuk dijadikan misteri dan rahsia.
Sekadar coretan di masa lapang.
Jumpa lagi di next blogpost.
With Love,
#Sofinah696 💕
Follow my instagram ; @sofinah696, @sillywonk, @peculiarescapism, @mudahkayadotcom, @howtoanythingmy .
Follow my blog with Bloglovin 💋
0 Kata-kata Dari Teman:
Catat Ulasan